Tenaga Hidrogen Malaysia: Transformasi Ekosistem Dalam Memacu Ekonomi Negara
26 Oktober 2024
Ditulis oleh:
Prof. Madya Dr Mohd Shahbudin Mastar @ Masdar
Felo Penyelidik
Institut Sel Fuel,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses,
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Prof Ir Dr. Edy Herianto Majlan
Felo Penyelidik
Institut Sel Fuel,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Tenaga hidrogen semakin mendapat perhatian sebagai sumber tenaga yang bersih dan lestari. Di Malaysia, penggunaan tenaga hidrogen berpotensi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan menyokong usaha negara mencapai matlamat neutraliti karbon. Dalam konteks ini, Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen (HETR) memainkan peranan penting dalam merangka strategi pembangunan tenaga hidrogen negara.
NETR merupakan inisiatif yang lebih luas untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih dan rendah karbon. Dalam NETR, hidrogen dilihat sebagai komponen penting dalam menyokong transformasi sektor tenaga, terutamanya dalam pengangkutan dan industri. HETR pula merupakan pelan strategik yang menggariskan langkah-langkah untuk menjadikan hidrogen sebagai salah satu sumber tenaga utama di Malaysia. Pelan ini menetapkan objektif untuk membangunkan ekosistem hidrogen yang berdaya saing, dengan fokus kepada penghasilan, penyimpanan, dan pengedaran hidrogen. Melalui HETR, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat. Dengan pendekatan yang strategik, kedua-dua pelan ini diharapkan dapat memacu pembangunan ekonomi hijau di Malaysia.
Tenaga Hidrogen: Penghasilan Hidrogen Hijau dan Aplikasi Sel Fuel dalam Penjanaan Tenaga Elektrik
Sementara itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang tenaga hidrogen menjadi fokus utama dalam usaha mempercepatkan penggunaan hidrogen di Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Sel Fuel merupakan antara institusi yang terlibat dalam R&D tenaga hidrogen. Institut ini telah melakukan penyelidikan ke arah pembangunan tenaga hidrogen seperti teknologi elektrolisis air yang efisien untuk menghasilkan hidrogen hijau serta aplikasinya melalui teknologi sel fuel dalam menjana tenaga elektrik. Teknologi elektrolisis membolehkan penghasilan hidrogen melalui proses elektrolisis air melalui tindak balas elektrokimia, yang mana air diuraikan kepada hidrogen dan oksigen menggunakan tenaga elektrik.
Kerjasama antara UKM dan industri, termasuk syarikat gergasi minyak dunia seperti PETRONAS, adalah penting untuk mempercepatkan pembangunan teknologi ini. PETRONAS telah mengenal pasti hidrogen sebagai salah satu pilar dalam strategi tenaga masa depannya, seterusnya terlibat dalam pelbagai projek R&D untuk menghasilkan hidrogen yang bersih dan berdaya saing. Melalui inisiatif ini, PETRONAS bukan sahaja menyumbang kepada inovasi teknologi, tetapi juga mempromosikan penggunaan hidrogen dalam sektor industri, tenaga mahupun pengangkutan.
Dari aspek ekonomi, pembangunan industri hidrogen di Malaysia menjanjikan potensi pulangan ekonomi yang besar. Menurut laporan Pertubuhan Antarabangsa Tenaga (IEA), industri hidrogen global dijangka bernilai sekitar RM 3.15 trilion (USD 700 bilion) menjelang tahun 2050. Malaysia, dengan sumber alam yang kaya dan kedudukan strategik di rantau Asia Tenggara, berpotensi untuk menjadi hab pengeluaran hidrogen hijau. Penglibatan dalam industri ini bukan sahaja dapat mencipta ribuan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi hijau, tetapi juga menarik pelaburan luar dari syarikat multinasional yang ingin menelopori pasaran tenaga bersih. Pelaburan dalam infrastruktur pengeluaran dan pengedaran hidrogen, serta teknologi berkaitan, akan memberikan rangsangan kepada ekonomi negara.
Walaupun potensi tenaga hidrogen adalah besar, namun terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Cabaran utama adalah kos pengeluaran hidrogen yang masih tinggi berbanding dengan bahan api fosil. Oleh itu, pelbagai usaha melalui R&D adalah penting bagi meningkatkan kecekapan teknologi elektrolisis dan mengurangkan kos. Rentetan itu, kerjasama antara kerajaan, institusi penyelidikan, dan industri adalah kunci untuk mencapai matlamat ini.Selain itu, pembangunan infrastruktur yang diperlukan untuk penyimpanan dan pengagihan hidrogen juga memerlukan pelaburan yang signifikan. Tanpa infrastruktur yang kukuh, penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga akan terhad. Oleh itu, perancangan dan pelaksanaan yang baik dalam pembangunan infrastruktur adalah kritikal untuk kejayaan industri hidrogen di Malaysia.
Secara rumusan, tenaga hidrogen menawarkan peluang yang besar untuk Malaysia dalam usaha mencapai neutraliti karbon dan memacu pertumbuhan ekonomi hijau. Dengan pelan strategik seperti HETR dan NETR, serta penglibatan institusi seperti UKM dan syarikat seperti Petronas, Malaysia berada di landasan yang baik untuk membangunkan ekosistem hidrogen yang berdaya saing. Melalui sokongan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan, serta kerjasama yang erat antara sektor awam dan swasta, Malaysia berpotensi untuk menjadi pemain utama dalam industri tenaga hidrogen global. Usaha ini bukan sahaja akan memberikan manfaat ekonomi tetapi juga akan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.