Sisa Buangan Sawit Pengganti Bahan Api Kenderaan
16 Mei 2023
Ditulis oleh:
Prof Madya Dr. Mohd Shahbudin Masdar
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Felo Penyelidik
Institut Sel Fuel,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Nurul Noramelya Zulkefli (nurulnoramelyazulkefli@gmail.com)
Penyelidik Pasca Doktoral
Institut Sel Fuel,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dewasa ini, para saintis dunia berlumba-lumba mencari penyelesaian kepada pengganti sumber bahan api fosil seperti minyak mentah, gas semula jadi dan arang batu berikutan sumber-sumber ini semakin menipis dan tidak mampu dijana semula. Hal ini berikutan sumber bahan api fosil ini terhasil daripada bahan karbon organik yang telah dipanaskan dan dimampatkan secara semula jadi dalam jangkaan masa yang lampau lebih jutaan tahun terdahulu.
Kini, kemerosotan sumber tenaga ini berlaku akibat daripada faktor populasi dunia, landskap sosio-ekonomi dan permintaannya yang meningkat saban waktu. Lantaran itu, para sainstis berusaha meneroka dan mencari penyelesaian kepada kekurangan sumber tenaga ini melalui sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Antaranya dengan menggabungkan sumber utama bahan api fosil sebagai salah satu sistem tenaga yang mampu mengawal dan memulihara bahan api fosil pada masa depan.
Secara amnya, sumber kepada tenaga alternatif ini terdiri daripada tenaga solar, air, angin dan juga sumber biojisim. Kepentingan penjanaan tenaga melalui sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini telah membawa kesepakatan pemimpin-pemimpin dunia sejak tahun 2015 dalam memeterai persetujuan Agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030 yang merangkumi 17 sasaran dalam Matlamat Pembangunan Lestari (MPL).
MPL ini memberi peluang dalam penyelarasan halaju perubahan iklim dan objektif pembangunan lestari di peringkat tempatan, nasional dan global. Pada masa yang sama, MPL dapat menentukan cabaran utama sains kelestarian di dalam menyokong dasar-dasar yang dibangunkan. Pelaksanaan MPL ini perlu diselaraskan dengan pengembangan dasar di masa depan.
Justeru, di Malaysia, dasar-dasar perancangan pembangunan negara telah digariskan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang menitikberatkan agenda ekonomi, sosial dan persekitaran. Pengurusan rantaian bekalan yang mampan dikenal pasti sebagai elemen utama di dalam agenda MPL ini yang mana produktiviti dan pemuliharaan sumber alam sekitar sebagai salah satu kunci kepada pengurangan sisa buangan melalui konsep kitaran ekonomi (circular economy).
Tambahan pula, pengurusan sisa buangan biojisim telah dikenalpasti sebagai salah satu sumber yang potensi dalam memberi sumbangan terbesar bagi penjanaan tenaga alternatif yang boleh memberi manfaat yang besar kepada komuniti dan alam sekitar. Sumber biojisim yang amnya mempunyai bekalan tenaga berterusan yang relevan berdasarkan kawalan dan pengeluaran sumber yang tinggi serta mampu menjana bekalan tenaga yang lebih selamat dan bersih. Umumnya, sumber biojisim boleh diperolehi melalui tempat kumbahan, najis-najis haiwan di kawasan penternakan, sisa makanan, sisa buangan pertanian serta sisa buangan melibatkan lemak, minyak dan gris.
Penghasilan tenaga daripada biojisim telah dipandang serius oleh para saintis dan industri di Malaysia termasuklah penglibatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sime Darby Plantation Berhad dan agensi kerajaan Malaysia di dalam usaha memanfaatkan sepenuhnya sisa buangan sawit. Sumber biojisim daripada kelapa sawit umumnya diketahui mampu memberi impak yang positif kepada sumber tenaga baharu terutamanya kepada pembangunan bio-bahan api seperti bio-diesel, bio-etanol dan biogas sama ada biohidrogen mahupun biometana.
Penghasilan biogas mencuri tumpuan dunia dengan kebolehpasaran tenaga hidrogen sebagai sumber tenaga baharu bagi penggunaan bahan api yang bersih serta mempunyai pencemaran yang minimum. Pada masa kini, pembangunan teknologi hidrogen sedang giat dilaksanakan diperingkat global. Ianya dilihat sebagai satu sumber yang sangat berpotensi kepada penghasilan sumber tenaga alternatif pada masa hadapan yang menjanjikan sumeber tenaga mampan dan mesra alam.
Hasilnya, melalui projek penyelidikan UKM-Sime Darby, biohidrogen menggunakan teknologi fermentasi daripada sisa buangan sawit telah berjaya dihasilkan. Biohidrogen yang ditulenkan ini dibekalkan sebagai sumber bio-bahan api kepada prototaip kenderaan bugi menggunakan peranti sel fuel sebagai penjana tenaga elektrik yang bebas dari bahan atau gas pencemar.
Justeru, sisa buangan biojisim khususnya terhasil daripada industri kelapa sawit mempunyai potensi yang tinggi di dalam menerajui penghasilan bio-bahan api bagi keperluan tenaga masa hadapan di negara Malaysia. Usaha ini bukan sahaja membantu membaikpulih persekitaran yang lebih selamat semata-mata, namun mampu membuka lebih banyak ruang penjanaan ekonomi buat negara. Selain itu, inovasi teknologi sel fuel juga akan menyokong kerajaan dalam meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga sekurang-kurangnya 8% daripada 20% menjelang tahun 2025. Penggunaan peranti sel fuel sebagai aplikasi tenaga hidrogen juga boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di Malaysia, kerana ia dapat mengurangkan pelepasan CO2 daripada penjanaan kuasa konvensional.