Menimba Ilmu Penyelidikan di Bumi Perancis: Pengalaman penulis menghadiri program penyelidikan di INRAE-LBE, Narbonne, Perancis
8 April 2024
Ditulis oleh:
Bidattul Syirat Zainal, Hassan Mohamed
Pertama sekali, syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah memudahkan segala urusan perjalanan dan kehidupan harian kami selama sebulan berada di Perancis. Terima kasih juga kepada pihak INRAE-LBE Narbonne dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) serta Institut Tenaga Lestari, UNITEN atau lebih dikenali sebagai Institute of Sustainable Energy (ISE) yang telah memberikan peluang kepada kami untuk sampai di Narbonne, Perancis bagi menimba pengalaman penyelidikan yang sangat berharga.
Sebelum bercerita dengan lebih lanjut, izinkan kami memberikan pengenalan tentang INRAE-LBE. INRAE-LBE ialah nama singkatan kepada National Research Institute for Agriculture, Food and Environment – The Laboratory of Environmental Biotechnology yang terletak di Narbonne, wilayah Occitanie, Perancis. Kebanyakkan penyelidikan yang dijalankan di INRAE-LBE berfokus kepada pembangunan konsep biorefineri alam sekitar yang berkaitan sisa (residues) dan sisa efluen (wastewater) organik daripada aktiviti manusia. Selain itu, INRAE-LBE giat mengkaji potensi biojisim tertentu untuk dijadikan biotenaga dan hasil sampingan lain seperti baja organik, sekali gus usaha ini membantu mengurangkan kesan negatif sisa kepada alam sekitar.
Rajah 1: Pintu masuk INRAE-LBE yang terletak di Narbonne, Perancis
Di INRAE-LBE, kami telah ditempatkan bersama-sama dengan kumpulan penyelidikan bioproses di bawah penyeliaan Dr. Helene Carrere dan Dr. Eric Talby. Mereka merupakan penyelidik senior di INRAE-LBE. Pusat penyelidikan ini bukan saja menempatkan para penyelidik tetap, tetapi juga pelajar praktikal, pelajar siswazah (Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah) dan penyelidik pasca doktoral. Di sini, kehadiran penyelidik dari serata dunia seperti Brazil, Sepanyol, Itali, Malaysia, China, Tunisia, Nigeria, Iran dan pelbagai lagi amat dialu-alukan.
Tujuan kami ke INRAE-LBE adalah untuk mempelajari sebanyak mungkin teknik-teknik rawatan dan cara penghasilan biogas dan biohidrogen daripada sisa efluen organik. Terdapat pelbagai jenis kelengkapan bioreaktor yang boleh digunakan untuk merawat sisa organik bagi penghasilan biogas dan biohidrogen. Salah satu perkara pertama yang telah kami pelajari ialah pengenalan kepada sistem bioreaktor Fluidised Bed Reactor (FBR). Sistem FBR ini digunakan untuk penghasilan biometana menggunakan percernaan bersama jerami gandum dan najis lembu. Jerami gandum bertindak sebagai sumber karbon dan makanan manakala najis lembu merupakan sumber nitrogen dan bakteria. Kami dapati bahawa FBR merupakan salah satu bioreaktor yang efisien bagi penghasilan biometana kerana proses tidak berterusan (batch) dan berterusan (continuous) boleh dijalankan menggunakan bioreaktor ini. Sistem FBR ini mudah dikendalikan kerana penyelidik dapat mengawal kondisi dan faktor suhu serta dapat merekod penghasilan data biogas yang berterusan menggunakan meter aliran gas (gas flow meter).
Rajah 2: Fluidised Bed Reactor (FBR)
Selain itu juga, sepanjang lima minggu di INRAE-LBE, kami telah mempelajari banyak perkara baru seperti penentuan potensi merawat sisa-sisa organik bagi penghasilan biometana atau biohidrogen dengan menggunakan teknik Flash Biomethane Potential (BMP). Selain itu juga kami mengikuti latihan penggunaan instrumen menilai kelikatan (viscosity) dan penyediaan sampel untuk proses pengekstrakan gen/DNA (gene/DNA extraction).
Pengalaman bersama dengan para penyelidik dari serata dunia membuatkan kami berinteraksi dan berkomunikasi dengan lebih baik, di samping bertukar-tukar pendapat dan pandangan tentang kajian penyelidikan masing-masing. Perbincangan bersama mereka telah memberi banyak maklumat berguna kepada kami, terutama sekali dari segi kajian penyelidikan, yang bukan sahaja berkisar tentang eksperimen di dalam makmal, malah cara menganalisa data kajian menggunakan perisian (software) seperti Matlab dan Aspen.
Kami juga berpeluang mempelajari bahasa dan budaya kehidupan masyarakat di sana. Walaupun kebanyakan para penyelidik dan pegawai teknikal di INRAE-LBE berbahasa Perancis, namun itu bukan penghalang kerana mereka sentiasa bersungguh-sungguh untuk memberikan penerangan di dalam Bahasa Inggeris. Mereka juga tidak lokek mengajar dan membantu para pekerja praktikal, pelajar siswazah bagi memastikan kajian penyelidikan berjalan lancar dan teratur. Para penyelidik dan pegawai teknikal di INRAE-LBE juga sentiasa berbesar hati menunjukkan satu per satu kepada kami cara mengendalikan pelbagai alatan di dalam makmal mengikut kepakaran masing-masing.
Menariknya lagi, pada setiap hari Jumaat, kami berpeluang menghadiri pelbagai siri seminar yang disampaikan oleh penyelidik jemputan INRAE-LBE. Antara topik yang pernah disampaikan adalah projek berkaitan sisa rawatan air di Sepanyol. Kami juga berpeluang untuk membentangkan serba sedikit tentang latar belakang Institut Tenaga Lestari (Institute of Sustainable Energy, ISE) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) serta projek penyelidikan kami di UNITEN, seperti di dalam Rajah 3.
Rajah 3: Pembentangan dari pihak kami, UNITEN, Malaysia di INRAE-LBE
Kehidupan di INRAE-LBE tidak berkisar kepada kerja semata-mata. Setiap hari, pada jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi, hampir kesemua penyelidik akan mengambil waktu rehat coffee break di ruang legar utama sambil berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Selain itu, pada setiap hari Rabu di antara 12:00 – 2:00 petang, kebanyakannya mereka akan turun beriadah. Semua penyelidik bebas untuk melakukan aktiviti riadah seperti berlari di tepi laut, bersenam di gimnasium yang disediakan, makan tengahari bersama-sama dan aktviti bebas yang lain. Kami dapati bahawa aktiviti seperti ini dapat menjadi contoh yang baik dalam mencapai kestabilan di antara kerja dan kehidupan (work life balance). Kerja penyelidikan tidaklah semudah seperti yang disangka ramai. Oleh yang demikian, aktiviti seperti ini sedikit sebanyak memberikan ruang kepada kita untuk bukan saja menghirup udara yang segar dan nyaman, tetapi dapat menikmati alam ciptaan Tuhan, lantas memberikan semula kekuatan dan tenaga.
Tugas kami sebagai penyelidik tidak hanya tertumpu di makmal. Semasa di Perancis, kami juga berpeluang menimba ilmu semasa mendaki bersama-sama Dr. Helene dan Eqwan. Oleh sebab cuaca, suhu, dan tanah yang bagus, pelbagai tanaman herba seperi rosemary, thyme, dan sage sangat mudah tumbuh dan boleh didapati di mana sahaja. Bukan itu sahaja, pokok epal, badam, anggur, buah zaitun dan limau adalah di antara pokok-pokok yang hidup melata di Narbonnne. Pelbagai spesis bunga yang tidak terdapat di Malaysia juga sangat banyak disebabkan perbezaan cuaca di antara benua Asia dan Eropah. Narbonne juga adalah sebuah daerah yang berhampiran dengan laut Mediterranian. Melihat kepelbagaian kejadian alam ini sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa rendah diri kami kepada kehebatan Yang Maha Pencipta. Pengalaman di sini telah banyak membuka pemikiran dan meningkatkan ilmu pengetahuan kami.
Rajah 4: Gambar kenangan di INRAE-LBE, Narbonne, Perancis
Setakat ini sahaja perkongsian daripada kami sepanjang berada di pusat penyelidikan bertaraf dunia INRAE-LBE. Sesungguhnya tiada kata-kata yang dapat kami ungkapkan melainkan rasa syukur dan berterima kasih kerana dapat mewakili ISE, UNITEN. Kami berharap agar kolaborasi yang terjalin ini dapat dikekalkan dan berpanjangan supaya lebih ramai lagi penyelidik dari UNITEN mahupun INRAE-LBE berpeluang untuk saling mempelajari dan mengembangkan ilmu pengetahuan, sekali gus meningkatkan mutu penyelidikan negara dan mengukuhkan jalinan erat antara Malaysia dan Perancis.
Terima Kasih.
Penulis juga ingin merakam sekalung penghargaan kepada Dr Afifi (bekas penyelidik di INRAE-LBE) dan sahabat Mohd Eqwan, penyelidik di INRAE-LBE, yang telah membuka ruang kepada kami untuk berkolaborasi bersama dengan para penyelidik di INRAE-LBE. Tidak lupa juga kepada Institute of Sustainable Energy (ISE) – HICoE, UNITEN yang telah memberi peluang kepada kami untuk menjalankan kursus latihan ini. Disamping itu, jutaan terima kasih kepada sumbangan dana-dana daripada Higher Institution Centre of Excellence (HICoE), Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) Chair of Renewable Energy, dan geran penyelidikan daripada The France-Malaysia Collaboration Programme for Joint Research 2023 (MyTIGER).