Selamatkah Penggunaan Kerajang Aluminium Dalam Aktiviti Memasak?

30 Julai 2024

Ditulis oleh:

Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi

(darfizzi@ukm.edu.my)


Pensyarah

Jabatan Sains Kimia,

Fakulti Sains dan Teknologi,

Universiti Kebangsaan Malaysia

Pengenalan


Kerajang aluminium merupakan lembaran logam aluminium yang nipis (berketebalan sekitar 0.2 mm) dan berkilat. Ia mudah didapati di kedai runcit untuk kegunaan rumah. Dari pembungkusan makanan hingga industri penerbangan, aluminium memainkan peranan penting dalam teknologi moden. Kerajang aluminium terdiri daripada kandungan utama aluminium tulen (kira-kira 99%). Selain daripada aluminium, kerajang ini mengandungi jumlah kecil unsur lain seperti silikon dan besi (kurang dari 1%). Aluminium digunakan secara meluas dalam pelbagai industri kerana sifatnya yang unik. Secara kimia, aluminium menunjukkan beberapa sifat unik yang membezakannya daripada logam lain. Aluminium boleh bertindak balas dengan oksigen di udara untuk membentuk lapisan oksida aluminium yang melindunginya daripada karat. Aluminium boleh bertindak balas dengan asid dan alkali kuat, membentuk garam aluminium dan hidrogen dengan asid, dan aluminat dengan alkali. Aluminium dianggap selamat untuk digunakan dalam pembungkusan makanan dan peralatan memasak. 


Proses Penghasilan Kerajang Aluminium


Proses penghasilan kerajang aluminium melibatkan beberapa proses utama:






Proses Penghasilan Kerajang Aluminium

Kerisauan Penggunaan Kerajang Aluminium Dalam Proses Masakan


Kerajang aluminium adalah produk biasa di rumah yang sering digunakan dalam memasak. Kerajang aluminium sering digunakan untuk penyimpanan makanan, menutup permukaan pembakar dan membalut makanan seperti daging untuk mengelakkan kehilangan kelembapan semasa memasak. Kerajang aluminium juga digunakan untuk membalut dan melindungi makanan yang lebih lembut, seperti sayur-sayuran, semasa memanggangnya.


Sesetengah pihak mendakwa penggunaan kerajang aluminium dalam memasak boleh menyebabkan aluminium meresap ke dalam makanan anda dan menjejaskan kesihatan anda. Namun, dakwaan ini hanyalah kekal sebagai kerisauan semata-mata tanpa disokong oleh pembuktian kukuh yang boleh diterima secara saintifik. Walaupun benar bahawa beberapa aluminium boleh masuk ke dalam makanan apabila dimasak dengan kerajang aluminium atau peralatan memasak aluminium, dan penyerapan aluminium meningkat dalam keadaan makanan berasid, namun, adalah tidak benar bahawa ini boleh menyebabkan sebarang kesan kesihatan pada orang dewasa yang sihat.


Tubuh individu dewasa hanya menyerap kurang daripada 1% aluminium dalam makanan atau air minuman. 95% daripada nilai penyerapan ini akan dikumuhkan melalui buah pinggang. Kebanyakan aluminium persekitaran yang terdedah kepadanya akan dikeluarkan dari sistem perkumuhan dalam tempoh masa 24 jam. Individu dewasa secara purata memakan kira-kira 7-9 miligram aluminium sehari. Jumlah ini boleh berubah bergantung kepada keadaan persekitaran tempatan, diet, atau peralatan memasak.


Dari segi sifat-sifat fizikal, aluminium mempunyai takat lebur yang tinggi sekitar 660 °C dan takat didih pada 2470 °C. Ini menunjukkan aluminium sangat stabil terhadap perubahan suhu terutama dalam keadaan memasak. Menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (European Food Safety Authority - EFSA), pangkalan data mengenai potensi karsinogenik sebatian aluminium adalah terhad. Tiada petunjuk jelas berkaitan potensi karsinogenik diperolehi dalam tikus yang diberi aluminium kalium sulfat pada tahap tinggi dalam diet. Secara keseluruhan, Panel EFSA menyimpulkan bahawa aluminium tidak mungkin menjadi karsinogen kepada manusia pada dos yang bersesuaian dengan diet. Para saintis di badan pemantau keselamatan makanan Eropah itu telah menilai keselamatan aluminium dari semua sumber dalam makanan dan menetapkan Pengambilan Mingguan Boleh Toleransi (TWI) sebanyak 1 miligram aluminium per kilogram berat badan. Manakala, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (US FDA) turut menyatakan bahawa kerajang aluminium umumnya diakui sebagai selamat apabila digunakan (GRAS) mengikut amalan pembuatan yang baik.

Penggunaan Kerajang Aluminium Dalam Proses Masakan

Kesimpulan


Oleh itu, kerisauan yang berlebihan terhadap penggunaan kerajang aluminium dalam proses masakan adalah tidak berasas sama sekali tanpa sokongan bukti-bukti kukuh secara saintifik. Baik FDA mahupun EFSA tidak mendapati bahawa pendedahan aluminium dalam proses masakan adalah cukup tinggi untuk menyebabkan masalah pada orang dewasa yang sihat. Para pengguna juga dinasihatkan membeli kerajang aluminium yang berkualiti dan berjenama yang diyakini di pasaran bagi meningkatkan keyakinan terhadap kualiti kerajang aluminium yang digunakan. Bagi individu yang berpenyakit, boleh mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan jika timbul sebarang keraguan.