Rokok Elektronik: Fakta Saintifik dan Tanggapan Segelintir Masyarakat
10 Jun 2023
Ditulis oleh:
Prof. Madya Ts. Dr. Emilia Zainal Abidin
Profesor Madya
Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan,
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia
Dr. Aziemah Binti Zulkifli
Felo/Pensyarah Kanan
Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI),
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Najihah Zainol Abidin
Pensyarah Kanan
Department of Diagnostic & Allied Health Science,
Faculty of Health & Life Sciences,
Management & Science University (MSU)
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan rokok elektronik sebagai peranti elektronik penghantaran nikotin berkuasa bateri (Electronic nicotine-delivery device, ENDD) yang menyerupai fungsi rokok konvensional. Rokok elektronik berfungsi dengan menyediakan nikotin dalam bentuk wap, yang disedut ke dalam mulut dan saluran pernafasan atas oleh pengguna rokok elektronik, sama seperti rokok konvensional. Tindakan menyedut atau "pengewapan/mengewap" akan menukar cecair menjadi wap.
Rokok elektronik telah berada di pasaran Malaysia sekitar tahun 2009 dan mula diperkenalkan sebagai alat bantuan berhenti merokok dengan menjadikan perokok konvensional sebagai pengguna sasaran. Namun begitu, sejak kebelakangan ini evolusi pesat terhadap peranti serta cecair rokok elektronik telah membuktikan bahawa pihak pengeluar sedang giat berusaha untuk meluaskan sasaran pengguna mereka kepada golongan bukan perokok konvensional yang merangkumi golongan remaja dan wanita.
Paling membimbangkan, terdapat pelbagai tanggapan masyarakat yang tidak selari dengan hasil dapatan kajian-kajian ilmiah mengenai rokok elektronik. Berikut adalah ringkasan tanggapan masyarakat dan hasil dapatan kajian mengenai rokok elektronik:
● Tanggapan 1: “Penggunaan cecair rokok elektronik yang dilabel zero-nikotin atau tiada kandungan nikotin, tidak akan menyebabkan ketagihan”.
Fakta 1: Kebanyakan produk cecair nikotin yang dilabel 'zero-nikotin' ternyata mengandungi nikotin. Ianya berpotensi tinggi menyebabkan ketagihan kepada pengguna rokok elektronik tanpa sedar.
Satu kajian mendapati bahawa 80% (n=8) sampel cecair rokok elektronik mengandungi nikotin walaupun diiklankan sebagai tidak mengandungi nikotin [1]
● Tanggapan 2: “Rokok elektronik tidak berbahaya”
Fakta 2: Wap dan cecair rokok elektronik adalah berbahaya dan mengandungi bahan penyebab kanser (karsinogenik). Nitrosamines-khusus tembakau (Tobacco-specific Nitrosamines, TSNAs) adalah salah satu agen penyebab kanser yang dikesan terdapat dalam produk cecair rokok elektronik [2].
● Tanggapan 3: “Rokok elektronik hanya menghasilkan wap air”
Fakta 3: Kandungan logam berat dikesan dalam wap rokok elektronik. Kromium, kadmium, nikel dan plumbum dikesan dalam wap rokok elektronik [3]
● Tanggapan 4: “Pengeluar rokok elektronik hanya menyasarkan pengguna rokok konvensional sahaja sebagai pengguna sasaran”.
Fakta 4: Variasi perisa cecair rokok elektronik, helah dan gaya penghasilan wap semasa aktiviti pengewapan, dan jaminan keselamatan oleh pengeluar peranti dalam pengiklanan produk, telah berjaya menarik minat remaja untuk mencuba rokok elektronik [4].
Pakar kesihatan awam percaya ini adalah helah pemasaran yang menyumbang kepada penggunaan rokok elektronik rekreasi, ketagihan nikotin dan pencetus kepada penggunaan produk tembakau sedia ada, di kalangan penduduk belia [5]
Walaupun rokok elektronik dianggap oleh sesetengah masyarakat sebagai alternatif yang lebih selamat kepada rokok konvensional, namun, kebanyakan dapatan kajian saintifik menunjukkan ianya mengandungi kandungan bahan berbahaya kepada kesihatan pengguna dan orang sekeliling. Bahan kimia berbahaya dan kesan buruk khususnya terhadap sistem pernafasan adalah beberapa fakta yang tidak boleh dipandang remeh. Penting bagi masyarakat dan pihak berkuasa untuk meningkatkan kesedaran mengenai risiko penggunaan rokok elektronik dan mengambil langkah-langkah terbaik untuk mengurangkan kadar penggunaannya. Secara keseluruhannya, penyebaran informasi berkenaan rokok elektronik dan risiko penggunaannya yang bersandar kepada bukti saintifik perlu ditingkatkan agar dapat difahami dan diambil tindakan oleh masyarakat umum.
Rujukan:
[1] Zulkifli, A., Abidin, N. Z., Hassim Ismail, N., & Abidin, E. Z. (2020). The Need for Policy on Labelling Requirement of E-liquid Products: A Case Study on Nicotine-containing E-liquid Refills Sold on E-commerce Platform in Malaysia. Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences (Vol. 16, Issue SUPP11).
[2] Zulkifli, A., Abidin, E. Z., Abidin, N. Z., Ghazali, H. M., Mangala, S., Siddiq, A., Nordin, A., Norkhadijah, S., Ismail, S., & Rasdi, I. (2018). Nicotine , Propylene Glycol and Tobacco-specific Nitrosamines Content in Selected E-Liquids in Malaysia: The Case Support for Initiation of Standards or Guidelines. Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences, 14, 95–103.
[3] Ting CY, Akma N, Sabri A, Tiong LL, Wong LP, Mohammadi NA, et al. Toxic / Hazardous Substances and Environmental Engineering Heavy metals ( Cr , Pb , Cd , Ni ) in aerosols emitted from electronic cigarettes sold in Malaysia. J Environ Sci Heal Part A. Taylor & Francis; 2019;0(0):1–8.
[4] Alexander JP, Williams P, Lee YO. Youth who use e-cigarettes regularly: A qualitative study of behavior, attitudes, and familial norms. Prevent Med Rep 2019;13:93–7.[5] Kar A, Thakur S, Rao VUS. Electronic cigarette use amongst youth: A threat to public health? Oral Oncol. 2020 May;104:104593.
[5] Kar, A., Thakur, S., & Rao, V. U. S. (2020). Electronic cigarette use amongst youth: A threat to public health? Oral oncology, 104, 104593.