Potensi Rawatan Kanser Menggunakan Sebatian Semulajadi dari Tumbuhan Herba
1 Jun 2023
Ditulis oleh:
Dr. Noor Nabilah Talik Sisin (nabilah.talik@gmail.com)
Penyelidik Pasca Doktoral
Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
Dr. Wan Nordiana Wan Abdul Rahman (wnordiana@ukm.edu.my)
Pensyarah Kanan
Jabatan Fizik Gunaan,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa 80 % daripada negara-negara di seluruh dunia menggunakan rawatan tradisional. Malah, rawatan tradisional termasuklah akupunktur dan senaman rohani telah diiktiraf oleh WHO dan digunakan secara rasmi di negara-negara Pasifik Barat seperti China, Korea, Jepun dan Vietnam. Masyarakat Malaysia tidak kira bangsa juga menggunakan rawatan herba secara meluas kerana herba dan bahan semulajadi mempunyai harga yang lebih murah berbanding ubat-ubatan moden, dan lebih senang untuk dijumpai lantaran Malaysia mempunyai kira-kira 12,000 spesies tumbuhan ubatan dan aromatik.
Sejak turun temurun, masyarakat Malaysia seringkali menggunakan herba dan bahan-bahan semulajadi untuk rawatan masalah kesihatan. Sehingga hari ini, kebanyakan masyarakat awam terutamanya yang berada di kampung dan luar bandar masih percaya dengan rawatan tradisional menggunakan bahan semulajadi sebagai rawatan alternatif, selain dari menggunakan perubatan moden. Ubat-ubatan dari produk semulajadi yang telah digunakan secara turun temurun dan menunjukkan kesan positif telah membuka mata pelbagai pihak untuk melihat bahawa tumbuhan dan herba boleh menjadi sumber perkembangan ubat-ubatan moden yang baharu.
Oleh itu, persoalan tentang keselamatan, kualiti, dan keberkesanan penggunaan rawatan bahan-bahan semulajadi telah menjadi tumpuan dan objektif kajian kepada para penyelidik dalam bidang perubatan dan kesihatan. Ramai pengkaji telah menemui potensi penggunaan sebatian bioaktif yang terdapat dalam ekstrak herba untuk merawat pelbagai penyakit seperti diabetes dan kanser. Kajian makmal peringkat awal telah menunjukkan bukti ekstrak pelbagai tumbuhan boleh merencat dan melawan pertumbuhan sel-sel kanser, seperti Sarcopoterium spinosum, Clinacanthus nutans (pokok belalai gajah), Passiflora foetida (pokok ulat bulu) dan Oroxylum indicum (beka). Malah, terdapat beberapa ubat-ubatan moden komersial yang mempunyai bahan-bahan daripada sebatian tumbuh-tumbuhan. Contohnya, ubat kanser Vincristine (Oncovin®) mempunyai ekstrak pokok Kemunting Cina, dan Paclitaxel (Taxol®) mempunyai bahan daripada pokok Pasifik Yew.
Kanser biasanya dirawat melalui pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Pesakit kanser biasanya akan menjalani beberapa siri rawatan gabungan atau kombinasi antara ketiga-tiga rawatan ini. Contohnya, kajian menunjukkan gabungan beberapa jenis ubat ataupun gabungan rawatan ubat (kemoterapi) disertakan dengan rawatan radioterapi dapat membantu membunuh sel kanser dengan lebih efektif. Memandangkan ekstrak dari sumber tumbuhan dan herba mempunyai ciri-ciri anti kanser, sebatian semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan ini boleh turut sama digabungkan dengan rawatan kanser konvensional yang sedia ada bagi meningkatkan lagi keberkesanan rawatan kanser. Antara kelebihan penggunaan sebatian semulajadi bersama dengan ubat-ubatan kemoterapi moden adalah dapat mengurangkan kesan-kesan sampingan kepada pesakit memandangkan sebatian semulajadi tidak toksik dan boleh bersifat anti oksida kepada sel normal. Sehingga kini, terdapat beberapa jenis kajian ke atas terapi gabungan dengan sebatian semulajadi. Antaranya adalah:
Ubat antikanser dengan sebatian semulajadi
Ubat antibodi dengan sebatian semulajadi
Radioterapi dengan sebatian semulajadi
Gabungan teknik rawatan kanser bukan sahaja melibatkan dua jenis bahan atau rawatan, malah lebih lagi. Terapi gabungan dengan pelbagai komponen bertujuan untuk memperbaiki keberkesanan rawatan, serta mengurangkan kesan-kesan sampingan terhadap pesakit. Terdapat kajian yang menggunakan terapi gabungan antara sebatian semulajadi, dengan radioterapi (sebagai rawatan utama), nanopartikel logam (sebagai pemekaradio [radiosensitizer]), dan ubat antikanser konvensional. Kajian tersebut menunjukkan bahawa kehadiran sebatian semulajadi (fraksi kaya Baicalein) dalam rawatan kanser dapat meningkatkan kepekaan sinaran dan membunuh lebih banyak sel-sel kanser berbanding sel-sel normal.
Terdapat beberapa jenis sebatian semulajadi yang digabungkan dengan rawatan radioterapi yang kini telah berada dalam fasa kajian klinikal ke atas pesakit, termasuklah epigallocatechin gallate [EGCG] (sebatian teh hijau) dan kurkumin (sebatian kunyit). Kajian dijalankan dengan pelbagai cara penggunaan EGCG seperti minum cecair EGCG selepas rawatan radioterapi untuk pesakit kanser peparu, dan menyapu larutan EGCG pada kawasan kulit yang terkena sinaran radioterapi untuk pesakit kanser payu dara. Kurkumin pula diberi secara dalam kapsul kepada pesakit kanser payu dara untuk dimakan sepanjang tempoh rawatan radioterapi. Laporan menunjukkan bahawa gabungan rawatan menggunakan sebatian-sebatian tumbuhan ini dengan radioterapi boleh mengurangkan kesan-kesan sampingan rawatan radioterapi seperti penyakit kulit, kesakitan dan kegatalan.
Sebatian semula jadi dari ekstrak tumbuhan dan herba mempunyai potensi tinggi untuk rawatan kanser dan lebih berkesan jika digabungkan dengan rawatan kanser sedia ada seperti radioterapi dan kemoterapi. Matlamat terapi gabungan antara sebatian semulajadi dan radioterapi atau kemoterapi adalah untuk memaksimumkan keberkesanan rawatan di samping meminimumkan kesan sampingan yang buruk. Pada masa sekarang, terdapat peningkatan kajian dan penyelidikan tentang penghasilan ubat yang diambil daripada produk semula jadi, dan kejayaan besar mungkin akan tercapai daripada usaha tersebut di masa hadapan.
Rujukan:
1. Talik Sisin, N. N., Abdul Razak, K., Zainal Abidin, S., Che Mat, N. F., Abdullah, R., Ab Rashid, R., Khairil Anuar, M. A., & Rahman, W. N. (2020). Synergetic Influence of Bismuth Oxide Nanoparticles, Cisplatin and Baicalein-Rich Fraction on Reactive Oxygen Species Generation and Radiosensitization Effects for Clinical Radiotherapy Beams. International Journal of Nanomedicine, 15, 7805–7823. https://doi.org/10.2147/IJN.S269214
2. Sauter, Edward R. (2020). Cancer prevention and treatment using combination therapy with natural compounds. Expert Review of Clinical Pharmacology, 17512433.2020.1738218–. doi:10.1080/17512433.2020.1738218
3. A. Rejhová, A. Opattová, A. Čumová, D. Slíva, P. Vodička (2018) Natural compounds and combination therapy in colorectal cancer treatment, European Journal of Medicinal Chemistry, 144, 582-594, https://doi.org/10.1016/j.ejmech.2017.12.039.
4. World Health Organization. (2019). WHO global report on traditional and complementary medicine 2019. World Health Organization. https://apps.who.int/iris/handle/10665/312342. License: CC BY-NC-SA 3.0 IGO
5. Sznarkowska A, Kostecka A, Meller K, Bielawski KP. Inhibition of cancer antioxidant defense by natural compounds. Oncotarget. 2017 Feb 28;8(9):15996-16016. doi: 10.18632/oncotarget.13723. PMID: 27911871; PMCID: PMC5362541.
6. Amin, A., Gali-Muhtasib, H., Ocker, M., & Schneider-Stock, R. (2009). Overview of Major Classes of Plant-derived Anticancer Drugs. International Journal of Biomedical Science, 5(1), 1–11.
7. ICS-UNIDO. (2008). Extraction Technologies for Medicinal and Aromatic Plants (S. S. Handa, S. P. S. Khanuja, G. Longo, & D. D. Rakesh, Eds.). International Centre for Science and High Technology.
8. WHO. (2013). WHO Traditional Medicine Strategy 2014-2023. In WHO Library Cataloguing-in-Publication Data (Vol. 1, Issue 1). https://doi.org/2013