Kesan Mikroplastik dalam Kosmetik dan Produk Penjagaan Diri Terhadap Alam Sekitar dan Kesihatan

18 Mei 2023

Ditulis oleh:

Prof. Madya Dr. Malina Jasamai 

(malina@ukm.edu.my)


Pensyarah 

Fakulti Farmasi,

Universiti Kebangsaan Malaysia 

Mikroplastik ditakrifkan sebagai zarah plastik dengan diameter kurang daripada 5 mm dan  telah menjadi lebih relevan dalam beberapa dekad kebelakangan kehadirannya di udara, tanah dan air dapat dikesan. Mikroplastik diperbuat daripada polimer sintetik seperti nilon, poliamida, polikarbonat, poliester, polietilena (PE), polietilena ketumpatan rendah (LDPE), polietilena berketumpatan tinggi (HDPE), polietilena tereftalat (PET), poli (metil metakrilat) (PMMA), polipropilena (PP), polistirena (PS), polivinil alkohol, dan polivinil klorida (PVC) yang dicampurkan dengan bahan kimia atau bahan tambahan lain. PE, PP, PET dan PMMA adalah polimer yang paling banyak digunakan dalam kosmetik dan produk penjagaan diri. Mikroplastik boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu mikroplastik primer dan mikroplastik sekunder.


       Mikroplastik primer ialah zarah plastik yang dihasilkan dengan saiz kurang daripada 5 mm dan ditambah ke dalam pelbagai produk seperti pertanian dan bahan binaan, kosmetik, detergen, bahan pelelas industri, cat, produk penjagaan diri dan farmaseutikal. Mikroplastik primer juga dirujuk sebagai manik mikro apabila ia ditambah ke dalam kosmetik dan produk penjagaan diri. Mikroplastik sekunder pula ialah zarah plastik yang dihasilkan secara tidak sengaja daripada pemecahan barangan plastik yang lebih besar akibat tindakan mekanikal, pemfotouraian serta degradasi biologi dan kimia. Contoh mikroplastik sekunder ialah mikrofiber daripada tekstil, habuk tayar daripada kenderaan dan serpihan plastik pertanian. 


       Kebimbangan utama berkaitan dengan penggunaan mikroplastik dalam kosmetik dan produk penjagaan diri adalah pelepasan berterusan mikroplastik ke alam sekitar semasa mencuci dan mandi. Kebimbangan timbul mengenai impaknya terhadap ekosistem akuatik dan kesihatan manusia kerana diketahui bahawa loji rawatan kumbahan kadang kala tidak dapat membuangnya dengan berkesan. Dianggarkan pada 2015, jumlah keluaran tahunan mikroplastik daripada kosmetik dan produk penjagaan diri di Amerika Syarikat, Eropah dan China ialah 3843 tan. Negara-negara ini terdiri daripada 33% daripada populasi global dan berdasarkan anggaran ini, kira-kira 1.2 × 104 tan mikroplastik telah dilepaskan ke alam sekitar secara global pada tahun 2015.


    Apabila berada di lautan, mikroplastik berketumpatan rendah akan terapung dan menyerap bahan pencemar organik dan logam berat dari persekitarannya. Mikroorganisma seperti bakteria dan alga akan membentuk biofilem di atas permukaan mikroplastik dan ini mungkin merbahaya kepada hidupan marin. Ketumpatan mikroplastik meningkat disebabkan oleh pengumpulan bahan-bahan ini dan akhirnya ia mendap di dasar laut. Mikroplastik terdegradasi dan bahan cemar yang diserap boleh menjadi toksik kepada hidupan marin dan kesihatan manusia. Di antara kesan toksik yang telah dilaporkan adalah kerosakan struktur dalam insang dan kelenjar pencernaan kerang Chlamys farreri, obesiti, ketidaksuburan, kanser dan diabetes pada manusia. Oleh kerana saiznya yang kecil, mikroplastik lebih cenderung untuk dimakan oleh hidupan marin seperti kopepoda, cacing anak panah dan salpa. Haiwan planktonik ini kemudian dimakan oleh ikan yang lebih besar yang merupakan sebahagian daripada diet manusia.


       Syarikat kosmetik dan produk penjagaan diri utama seperti Colgate-Palmolive, Clarins, Unilever Group dan Shiseido telah mengeluarkan manik mikro daripada produk mereka atau menggunakan alternatif kepada manik mikro. Walau bagaimanapun, masih ada syarikat kecil termasuk syarikat kosmetik dan produk penjagaan diri tempatan yang menggunakan mikroplastik di dalam produk mereka. Kesedaran tentang risiko alam sekitar dan kesihatan mikroplastik mungkin dapat mendorong pengguna untuk memilih produk yang lebih selamat.