Kandungan Merkuri Dalam Produk Pencerah Kulit di Pasaran Tempatan
13 Mei 2023
Ditulis oleh:
Prof. Madya Ts. ChM Dr. Darfizzi Derawi
Timbalan Pengerusi
Jabatan Sains Kimia,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Kaum hawa merupakan golongan yang amat mementingkan kecantikan luaran terutama pada bahagian kulit dan wajah. Sebahagian besar daripada mereka inginkan kulit yang nampak halus dan cerah. Segelintir mereka sanggup berhabisan wang untuk mendapatkan produk-produk pencerah kulit demi mendapatkan tona warna kulit yang diingini. Kebanyakan produk pencerah kulit boleh didapati secara atas talian dan tidak kurang ada juga dijual oleh stokis-stokis melalui media sosial. Para pengguna produk atas talian amat mudah terpengaruh dengan testimoni daripada pempengaruh atau duta produk tersebut. Malangnya, sebahagian produk pencerah kulit yang dijual mempunyai kandungan merkuri yang tidak dibenarkan. Merkuri merupakan logam berat yang berbahaya terhadap kesihatan manusia. Pendedahan kepada merkuri, terutamanya melalui pengambilan, penyedutan, atau penyerapan kulit, boleh membawa kepada pelbagai kesan kesihatan yang buruk.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menyenaraikan merkuri sebagai salah satu daripada 10 bahan kimia teratas yang membimbangkan terhadap kesihatan awam. Menurut WHO, merkuri boleh memberikan kesan toksik pada saraf, pencernaan, sistem imun, paru-paru, buah pinggang, kulit, dan mata. Sebarang pendedahan dan keracunan merkuri terhadap tubuh badan boleh ditentukan dengan melakukan pemeriksaan fizikal dan ujikaji darah di fasiliti-fasiliti kesihatan.
Merkuri banyak digunakan dalam beberapa produk pemutihan kulit kerana keupayaannya untuk menghalang pengeluaran melanin, pigmen yang mempengaruhi kegelapan warna kulit. Merkuri dalam produk kosmetik hadir dalam dua bentuk sama ada dalam bentuk organik dan bukan organik. Merkuri dalam bentuk organik selalunya digunakan sebagai bahan pengawet dalam kosmetik seperti alit mata, pencuci muka dan maskara. Manakala merkuri dalam bentuk bukan organik pula digunakan dalam krim dan sabun pencerah kulit. Pendedahan berpanjangan terhadap kandungan merkuri melalui penyerapan kulit boleh menjadi sangat berbahaya, dan penggunaannya dalam kosmetik umumnya dianggap tidak selamat. Baru-baru ini, suatu kajian awal kandungan merkuri dalam produk pencerah kulit telah dilakukan oleh Prof. Madya Ts. ChM Dr Darfizzi Derawi bersama-sama pelajar tahun akhir seliaan beliau di Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebanyak 6 produk pencerah kulit dari dalam dan luar negara (Indonesia, Thailand, Vietnam) telah digunakan dalam kajian ini. Hasil analisa awal merekodkan kesemua 6 sampel terpilih produk pencerah kulit tersebut mengandungi kandungan merkuri dan ada produk yang merekodkan kandungan merkuri yang tinggi melebihi 1 ppm. Produk-produk ini sangat popular di kalangan pengguna tempatan dan boleh didapati secara atas talian.
Para pengguna seharusnya bertindak lebih bijak dalam memilih produk kecantikan yang tidak mendatangkan mudarat pada masa hadapan. Antara ciri-ciri produk yang berpotensi mempunyai kandungan merkuri adalah apabila produk tersebut boleh menjamin kesan pencerahan tona warna kulit dengan cepat. Kebanyakan produk sebegini dijual oleh pengedar atau stokis secara atas talian serta tidak mempunyai maklumat pengeluar atau pengilang yang jelas pada label produk. Selain itu, produk-produk sebegini tidak dipasarkan oleh syarikat penjagaan kesihatan berlesen dan terkenal. Seterusnya, harga jualan produk-produk terlarang sebegini akan lebih murah berbanding produk-produk berdaftar yang selamat digunakan. Para pengguna boleh mempertimbangkan untuk mengambil bahan alternatif yang lebih selamat dan berkesan untuk mencerah kulit seperti vitamin C dan asid kojik. Apabila memilih produk penjagaan kulit atau kosmetik, sebaiknya pilih jenama terkenal yang mematuhi peraturan keselamatan yang ketat serta dijual di kedai-kedai penjagaan kecantikan dan kesihatan yang terkenal. Selain itu, orang awam juga boleh berjumpa dengan pakar dermatologi atau profesional penjagaan kesihatan yang berkelayakan bagi mendapatkan khidmat rundingan dan merawat kulit anda. Dalam kemodenan hidup sekarang, para pengguna haruslah lebih bijak dan tidak mudah terpedaya dengan testimoni atau promosi atas talian berkaitan produk-produk kecantikan yang meragukan. Kecerahan cepat mungkin bakal mengundang padah.
Merkuri dalam produk kosmetik juga boleh mendatangkan impak negatif terhadap alam sekitar, seterusnya membahayakan rantaian makanan semula jadi. Sabun atau produk kosmetik lain secara amnya akan menjadi bahan kumbahan domestik apabila dibasuh dan seterusnya terlepas ke alam sekitar. Merkuri ini kemudiannya akan bertukar kepada sebatian metil-merkuri dan akhirnya boleh terlepas memasuki sistem kitaran makanan manusia melalui ikan yang tercemar dengan metil-merkuri ini. Jika wanita hamil yang mengambil ikan yang tercemar dengan metil-merkuri berkemungkinan boleh memindahkan bahan tersebut kepada bayi dalam kandungannya, seterusnya berisiko menyebabkan gangguan dalam perkembangan otak dan saraf bayi tersebut.
Pihak Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disokong oleh beberapa kementerian berkaitan boleh mengadakan kempen dan promosi melalui media arus perdana dan juga media sosial bagi memberi pendidikan dan meningkatkan tahap kesedaran orang awam dan juga para pelajar sekolah terhadap risiko dan bahaya kandungan merkuri dalam produk kecantikan. Selain itu, perlu adanya pemantauan lebih kerap terhadap sebarang promosi produk kecantikan atas talian dan media sosial. Pendidikan berterusan, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan yang dilakukan dapat memastikan penjualan produk kecantikan terlarang dapat dibendung seterusnya meningkatkan kualiti kesihatan orang awam. Suatu pendekatan baharu juga boleh diperkenalkan oleh pihak Kerajaan iaitu dengan memperkenalkan logo bebas mekuri pada setiap label produk kosmetik yang ingin dijual di pasaran tempatan. Paparan logo ini mempunyai tujuan yang sama dengan pengenalan logo Halal JAKIM di Malaysia. Para pengguna akan semakin cakna dan menjadi pengguna yang bijak ketika melakukan pembelian produk-produk kosmetik. Manakala, pihak pengeluar dan penjual mahu tidak mahu perlu patuh kepada keperluan ini supaya produk mereka diyakini bebas dan selamat untuk digunakan. Seterusnya menyebabkan semua produk terlarang yang ada di pasaran tempatan akan dipandang sepi oleh para pengguna yang semakin bijak dan cakna dengan keselamatan dan kesihatan mereka dalam menggunakan barangan kosmetik.