Sinaran dan Pelindung Ultra Ungu
19 November 2023
Ditulis oleh:
ChM. Dr. Suria Ramli
Jabatan Sains Kimia,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Matahari memainkan peranan penting dalam kehidupan di bumi dengan memberi kita cahaya dan haba yang diperlukan serta membantu penghasilan vitamin D. Namun, pendedahan secara berlebihan akan memberikan kesan buruk pada kulit, mata dan sistem imun tubuh badan dalam jangka masa pendek dan juga panjang.
Sinaran ultra ungu (UV) merupakan sebahagian daripada spektrum elektromagnetik (cahaya) dari matahari yang sampai ke bumi. Ia boleh dibahagikan kepada tiga julat spektrum iaitu UVA (julat 315-400 nm), UVB (julat 280-315 nm) dan UVC (100-280 nm). Sinaran UV yang sampai pada permukaan bumi adalah jenis UVA dan UVB. Secara umum, kedua-dua sinaran ini boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan kulit manusia. Sinaran UVA boleh menembusi kulit manusia dan menyebabkan kerosakkan pada DNA sel kulit. Manakala sinaran UVB pula, kebanyakkan akan diserap pada lapisan ozon dan hanya sedikit sahaja yang sampai ke permukaan bumi. Sinaran ini tidak menembusi jauh lapisan kulit berbanding UVA, tetapi ia boleh menyebabkan kesan selaran matahari (sunburn).
Kulit adalah perisai semulajadi yang melindungi tubuh daripada sinaran UV. Tetapi pendedahan berlebihan kepada sinaran ini dalam jangka masa yang lama tanpa sebarang perlindungan boleh menyebabkan penurunan daya tahan kulit, mempercepatkan proses penuaan dan lebih serius turut meningkatkan risiko kanser kulit. Gejala penuaan kulit termasuklah kedutan, garis-garis halus, kehilangan keanjalan kulit, tona kulit tidak sekata, jeragat, dan kulit kasar serta kering.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa kes kanser kulit non-melanoma dan melanoma telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu. Pada masa ini, di antara 2-3 juta kes non-melanoma dan lebih seratus ribu kes melanoma telah dilaporkan di seluruh dunia setiap tahun. Lapisan ozon yang semakin menipis menyebabkan lebih banyak sinaran UV sampai ke permukaan bumi dan ini meningkatkan risiko kanser kulit. Oleh itu, penting untuk memahami bahaya sinaran UV dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi kulit daripada ancaman ini.
Menghindari pendedahan berpanjangan atau berulang kepada sinaran UV adalah satu langkah perlindungan diri yang terbaik. Meskipun begitu, penting bagi setiap individu menitikberatkan langkah-langkah perlindungan yang perlu diambil sekiranya perlu berada atau terdedah di bawah cahaya matahari seperti penggunaan payung, topi, kaca mata hitam dan produk pelindung UV (Sunscreens). Pelindung UV adalah barisan pertahanan yang penting terhadap sinaran UV yang berbahaya, di mana ia merupakan bahan yang berupaya menghalang sinaran UV daripada menembusi dan meresap ke dalam lapisan kulit seterusnya menyebabkan kerosakan kulit. Namun perlu difahami bahawa pelindung UV hanya menghalang sinaran UV tetapi tidak terlibat dalam penghasilan pigmen melanin pada kulit.
Di pasaran, terdapat pelbagai pilihan produk penapis UV komersial yang boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti krim, losyen, gel, semburan, stik, serbuk dan lain-lain. Fungsi utama produk pelindung UV ini adalah memberi perlindungan yang efektif pada kulit dengan menapis, memantul dan menyerap sinaran UVA dan/atau UVB yang dipancarkan oleh matahari. Ini bergantung pada bahan formulasi bagi setiap produk pelindung UV tersebut. Namun, pada masa kini, pelindung UV seringkali digabungkan dengan bahan-bahan lain seperti pelembap, antioksidan, bedak asas, dan bedak untuk meningkatkan nilai produk, serta memberikan kemudahan kepada pengguna dengan satu produk yang memenuhi keperluan sepanjang hari, berbanding menggunakan beberapa produk berasingan.
Secara amnya pelindung UV dikelaskan kepada dua kumpulan iaitu jenis fizikal dan kimia. Pelindung UV jenis fizikal, yang juga dikenali sebagai pelindung mineral, berfungsi dengan cara memantulkan dan menyerakan sinaran UV seperti cermin memantulkan cahaya. Bahan utama yang terdapat dalam pelindung UV jenis ini adalah titanium dioksida dan ferum oksida. Pelindung UV jenis ini berkesan dalam menghalang sejumlah besar kedua-dua sinaran UVA dan UVB daripada meresap ke dalam kulit. Berbeza dengan pelindung UV fizikal, pelindung daripada kumpulan jenis kimia berfungsi dengan menyerap sinaran UV dan menghalangnya daripada menembusi ke dalam lapisan kulit. Pelindung UV jenis ini berupaya menghalang sejumlah 95% daripada sinaran UVB. Namun, darjah penyerapan sinaran UV oleh pelindung UV daripada kumpulan ini bergantung pada jenis bahan kimia yang digunakan di dalam formulasi serta kepekatan bahan tersebut. Contoh bahan-bahan utamanya adalah seperti oksibenzona, benzofenon dan para-asid aminobenzoik (PABA). Sebagai tambahan, kombinasi dua atau lebih bahan aktif pelindung UV di dalam satu formulasi boleh menghasilkan satu produk pelindung UV yang mampu melindungi dari sinaran UV dengan spektrum yang lebih meluas iaitu merangkumi kedua-dua sinaran UVA dan UVB. Ini dikenali sebagai pelindung UV spektrum luas.
Istilah yang sering digunakan dalam menilai keberkesanan produk pelindung UV adalah Faktor Perlindungan Matahari (Sun Protection Factor, SPF). SPF diperkenalkan oleh FDA (US Food and Drug Administration), digunakan untuk mengukur tahap perlindungan pelindung UV terhadap sinaran UVB pada kulit. Jadi, SPF sesuatu produk pelindung UV merupakan faktor penting yang perlu diambil kira apabila memilih produk pelindung UV. SPF hanya bertindak ke atas sinaran UVB, tetapi tidak bagi sinaran UVA. Nilai SPF pada produk pelindung UV sebenarnya memberikan gambaran berapa lama kulit boleh terdedah di bawah sinaran UVB sebelum kulit mula mengalami kemerahan. Namun, kesan kemerahan terhadap sinaran UVB adalah berbeza bagi setiap individu. Tahap SPF yang sesuai bergantung kepada jenis kulit, aktiviti dan tempoh pendedahan di bawah sinaran matahari. Semakin tinggi SPF, bermaksud produk tersebut dapat memberi perlindungan bagi tempoh yang lebih lama.
Kesimpulannya, dengan penawaran pelbagai jenis produk pelindung UV di pasaran, setiap pengguna perlu tahu dan bijak memilih produk pelindung UV yang sesuai bagi dirinya. Pemilihan mestilah mengambilkira pelbagai faktor seperti jenis kulit individu, nilai SPF, aktiviti yang akan dilakukan, jangka masa pendedahan terhadap sinaran UV, bahan-bahan yang terkandung di dalam pelindung UV dan semestinya yang terakhir adalah harga produk tersebut