Science Education Day Camp
25 Mac 2024
Ditulis oleh:
Ts. Leong Kok Seng
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN)
Dr. Azmi Ahmad
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN)
En. Shamsul Mazalan
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN)
Program Science Education Day Camp menjadi inisiatif terdepan dalam bidang pendidikan dengan menggabungkan elemen bengkel dan ceramah yang berfokuskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Sasaran utama program ini ialah memberikan sokongan yang mapan kepada para pelajar Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN), khususnya dalam mengembangkan minat pelajar-pelajar tersebut dalam sains kimia. Inisiatif ini diasaskan oleh para pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Petrokimia PTSN dengan kerjasama kukuh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui program Kesedaran dan Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Tempoh penganjuran Science Education Day Camp melibatkan penyertaan seramai 9 orang pendidik dan 50 orang pelajar serta berlangsung dari 24 Oktober 2023 hingga 25 Oktober 2023, bertempat di AgroFarmStay Resort, Melaka. Matlamat utama program ini ialah untuk memberikan pendedahan yang mendalam kepada pelajar mengenai modul sains kimia, khususnya dalam domain Inorganic and Physical Chemistry. Mereka diberi peluang untuk tidak hanya memahami konsep-konsep teori di dalam bilik kuliah, tetapi juga terlibat secara praktikal dalam proses tindak balas kimia.
Keutamaan diberikan kepada pengalaman langsung para pelajar dalam memahami dan terlibat secara aktif dalam pembelajaran tentang tindak balas kimia. Ini memberi peluang kepada mereka untuk menyaksikan dan menghayati sendiri proses-proses kimia yang mereka pelajari dalam modul tersebut. Pendekatan ini diambil untuk merealisasikan impian para pelajar yang mungkin hanya dapat dicapai melalui pengalaman langsung di dalam bidang sains kimia. Selain daripada aspek pembelajaran kimia, Science Education Day Camp turut diarahkan untuk membantu PTSN dalam menangani cabaran silibus yang komprehensif. Dengan memberikan pemahaman yang lebih mendalam melalui program ini, para pelajar dijangka dapat menguasai subjek kimia dengan lebih baik. Ini akan memberi kesan positif terhadap prestasi akademik mereka dan membantu mereka bersaing secara positif supaya lebih cemerlang di dalam bidang sains kimia.
Kelebihan lain bagi program ini dijalankan adalah pendedahan kepada pembelajaran berkumpulan oleh para pelajar yang terlibat. Pembelajaran secara bersama-sama dianggap lebih efektif dan lebih baik kerana membolehkan pelajar untuk saling berkongsi pengetahuan terhadap topik yang dibincangkan. Dalam sesi-sesi bengkel yang diadakan, pelajar pelajar dapat berinteraksi dengan rakan sekelas, bertukar pendapat, dan mengemukakan pertanyaan. Pembelajaran ini bukan sahaja melibatkan interaksi dengan pensyarah, tetapi juga melibatkan dialog dan perkongsian idea di kalangan pelajar, membina suasana pembelajaran yang lebih dinamik tanpa ada halangan interksi di antara pensyarah dan pelajar, dan menggalakkan perkongsian idea.
Peranan Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam melaksanakan program ini telah diperkukuhkan untuk menjamin kelancaran dan keberkesanan program tersebut. Kerjasama yang berkualiti tidak hanya berkontribusi dalam penyediaan sumber dan kemudahan, tetapi juga melibatkan penyampaian maklumat terkini serta pemahaman terhadap perkembangan terkini dalam bidang sains dan teknologi. Ini memberikan pelajar akses kepada informasi terkini yang memberi dorongan tambahan kepada proses pembelajaran mereka. Kesepaduan antara PTSN dan MOSTI mencerminkan komitmen mereka dalam menyokong dan memajukan pendidikan STEM di kalangan pelajar, memastikan mereka dapat mengikuti perkembangan terkini dalam dunia sains dan teknologi.
Secara keseluruhannya, Science Education Day Camp adalah sebuah program yang tidak hanya mendepani cabaran pendidikan masa kini tetapi juga memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar dalam sains kimia. Dengan penekanan pada pengalaman langsung, pembelajaran berkumpulan, dan pemahaman mendalam, program ini membuka peluang untuk meningkatkan minat dan pencapaian pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik. Kerjasama antara PTSN dan MOSTI dalam penyelenggaraan program ini bukan sahaja memperkuatkan program tersebut tetapi juga memberikan impak positif kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi di kalangan pelajar.