Potensi Jerami Padi Sebagai Sumber Tenaga Alternatif di Malaysia
10 Mei 2024
Ditulis oleh
Rihana Firdaus
Pelajar Sarjana
Pusat Perubahan Iklim Tropika,
Institut Perubahan Iklim,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Ts. Dr. Siti Norliyana Harun
Felo Penyelidik
Pusat Perubahan Iklim Tropika,
Institut Perubahan Iklim,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jerami padi merupakan bahagian pokok padi yang tersisa setelah dituai. Ia terdiri daripada batang dan daun yang tidak digunakan dalam proses pengeluaran beras. Umum mengetahui bahawa jerami padi biasanya diuruskan secara pembakaran terbuka, di mana keadaan ini akan menyebabkan pencemaran udara yang disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan sekaligus memberikan kesan negatif terhadap kesihatan manusia serta menyumbang kepada perubahan iklim. Oleh itu, kaedah pengurusan jerami pada yang lebih baik perlu dititkberatkan bagi mengurangkan kesan negatif pembakaran jerami padi terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.
Meskipun jerami padi sering kali dilihat sebagai sisa yang tidak bernilai, namun ia sebenarnya memiliki komposisi kimia yang amat berharga. Jerami padi mengandungi serat selulosa (35% - 50%), hemiselulosa (20% - 35%) dan lignin (10% - 25%), dimana kandungan yang tinggi dalam selulosa dan hemiselulosa menjadikan bahan ini berpotensi untuk ditukarkan kepada biotenaga. Selain itu, jerami padi juga terhasil dalam jumlah yang besar pada setiap tahun di Malaysia memandangkan negara ini mempunyai kawasan penanaman padi yang luas. Malaysia, mempunyai 12 Jelapang Padi yang merangkumi keluasan keseluruhan 416, 415 hektar, berperanan penting dalam menyokong ekonomi pertanian negara dan memenuhi bekalan domestik. Mengambil kira peningkatan kadar sara diri (SSR) beras negara yang ditingkatkan kepada 75% menjelang tahun 2025, hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan peningkatan jumlah penghasilan jerami padi. Oleh itu, ia boleh menjadi satu sumber yang baik dan membuka jalan yang besar bagi era baru dalam revolusi biotenaga di Malaysia.
Pemanfaatan jerami padi kepada biotenaga bukan sekadar menawarkan penyelesaian terhadap persoalan pengurusan sisa pertanian, tetapi juga dapat menghindarkan daripada aktiviti pembakaran terbuka jerami padi yang telah lama dipraktikkan. Sehubungan dengan itu, ia dapat mengurangkan kebergatungan terhadap bahan api fosil yang semakin berkurangan dan membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada berlakunya perubahan iklim. Melalui beberapa penyelidikan yang telah dibuat di dalam mahupun di luar negara, penggunaan jerami padi sebagai sumber alternatif mampu menghasilkan pencemaran yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pembakaran bahan api fosil. Secara tidak langsung, tindakan ini dapat menyokong usaha global untuk mengatasi cabaran perubahan iklim yang semakin mendesak. Bukan itu sahaja, penggunaan jerami padi sebagai biotenaga turut membuka peluang baharu dalam sektor ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi faedah ekonomi tambahan kepada petani. Terdapat negara-negara luar seperti China dan India telah pun mengadaptasi pendekatan inovatif dalam memanfaatkan jerami padi menjadi sumber biotenaga. Sebagai contoh, di India sebuah loji janakuasa berasaskan biogas pertama telah beroperasi menggunakan jerami padi untuk pengeluaran biotenaga berskala besar di daerah Fazilka, Punjab. Sementara itu, di Harbin, China, terdapat sebuah loji janakuasa yang menggunakan teknologi yang sama untuk memanfaatkan jerami padi dan jerami jagung sebagai bahan bakar bagi menghasilkan tenaga, dengan kapasiti penghasilan 30 MW biotenaga.
Loji janakuasa ini menjadi contoh yang baik tentang bagaimana inovasi teknologi dan penggunaan sumber yang diperbaharui dapat menciptakan jalan menuju masa depan yang lebih mampan. Dengan membuktikan bahawa sisa pertanian dapat diubah menjadi sumber tenaga yang bernilai, negara-negara ini dapat memberikan inspirasi kepada negara-negara pengeluar padi lain seperti Malaysia untuk menjalankan projek seperti ini dalam usaha mencapai bekalan tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Dengan pelbagai manfaat ini, adalah penting bagi Malaysia untuk terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam penggunaan jerami padi sebagai sumber tenaga alternatif. Dalam jangka panjang, pelaburan dalam teknologi dan infrastruktur yang diperlukan untuk menukar jerami padi kepada tenaga boleh membawa manfaat yang besar kepada negara, baik dari segi ekonomi dan sosial. Oleh itu, pendekatan bersepadu yang melibatkan kerajaan, petani, industri tenaga dan masyarakat amat diperlukan. Pendidikan tentang kesan negatif pembakaran jerami perlu disebarkan supaya Malaysia dapat mencapai sasarannya dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih hijau dan mampan, sejajar dalam usaha menyokong aspirasi Matlamat SDG 7: Tenaga Berpatutan dan Bersih.