Pertanian Vertikal Persekitaran Terkawal Pacu Transformasi Lanskap Pertanian Negara

23 Jun 2024

Ditulis oleh:

Dr. Muhamad Hafiz Che Othman

(hafiz87@ukm.edu.my)


Penyelaras Kilang Tanaman

Taman Botani Bangi,

Fakulti Sains dan Teknologi,

Universiti Kebangsaan Malaysia 

Prof. Dr. Noraini Talip

(ntalip@ukm.edu.my)


Ketua Taman Botani Bangi

Fakulti Sains dan Teknologi,

Universiti Kebangsaan Malaysia 

Selari dengan landskap pertanian Malaysia yang sentiasa berkembang, pertanian vertikal (vertical farming) menjadi tumpuan inovasi dalam menangani dua cabaran utama dalam pertanian bandar iaitu keterjaminan makanan dan penambahbaikan nutrisi hasil tanaman. 


Pertanian vertikal persekitaran terkawal, ditakrifkan melalui kaedah penanaman tanaman dalam struktur vertikal atau bertingkat, di samping menyediakan persekitaran pertumbuhan yang optimum menggunakan teknologi persekitaran agrikultur yang terkawal. Teknologi ini membolehkan ruang tanaman yang terhad di kawasan bandar digunakan secara efisien, menjadikannya ideal untuk dipraktikkan di kawasan bandar yang berpenduduk padat.


Teknologi persekitaran agrikultur terkawal memberi kelebihan kepada pertanian vertikal berbanding konvensional. Dengan menggunakan sistem hidroponik atau aeroponik, tanaman mendapat akses kepada nutrien secara langsung melalui akar, memastikan persekitaran pertumbuhan seperti cahaya, suhu, kelembapan, kualiti udara, dan nutrien yang sesuai bagi pertumbuhan tanaman. Hal  Ini membantu mengurangkan risiko penyakit dan serangga perosak, tidak dipengaruhi oleh faktor iklim luar, serta menyumbang kepada model pertanian yang lebih mampan dan cekap.


Di peringkat global, pasaran pertanian vertikal mengalami pertumbuhan pesat, terutamanya di Jepun, Korea Selatan, Belanda dan Amerika Syarikat, didorong oleh kepakaran teknologi dan kepesatan urbanisasi, di samping peningkatan permintaan terhadap hasil tanaman secara lestari di kawasan bandar. 

Menurut Market Research Future, pasaran industri pertanian vertikal dijangka berkembang dari 6.2 Bilion USD pada tahun 2023 kepada 33.5 Bilion USD menjelang 2032. Keadaan ini jelas menunjukkan peranan signifikan pertanian vertikal dalam memacu transformasi pengeluaran makanan global yang mampan dan lestari.


Di Malaysia, pasaran pertanian vertikal semakin berkembang dengan kesedaran yang meningkat mengenai potensinya dalam kelestarian pertanian bandar. Penduduk bandar semakin sedar tentang kepentingan mendapatkan hasil tanaman segar yang ditanam secara lokal, dan ini telah merangsang penubuhan ladang dan kilang tanaman sayuran seperti Vegetory, CityFarm Malaysia, Agroz Indoor Vertical Farm, dan sebagainya.

Gambar penulis ketika melawat ke Kilang Tanaman MARDI

Keistimewaan pertanian vertikal persekitaran terkawal terletak pada keupayaannya untuk menambahbaik kualiti nutrisi tanaman dan mengoptimumkan kecekapan sumber. Melalui kaedah  memanipulasi parameter pertumbuhan secara dinamik, teknologi dapat memastikan bekalan makanan yang mampan sambil meningkatkan kandungan nutrisi dalam tanaman. Hal ini sangat penting terutamanya di kawasan bandar di mana akses kepada hasil segar dan berkhasiat boleh menjadi terhad. 


Pertanian vertikal persekitaran terkawal juga dapat mengoptimumkan kecekapan sumber melalui pengurusan sumber air, cahaya, suhu, dan nutrien yang tepat bagi pertumbuhan tanaman yang optimum. Teknologi ini yang menggunakan sistem tanaman tertutup juga mengurangkan keperluan penggunaan racun perosak. 


Walaupun potensi dan manfaat pertanian vertikal adalah besar, usaha penambahbaikan kualiti tanaman dan kecekapan sumber sistem pertanian vertikal masih berterusan dan mempunyai cabaran tersendiri. Kepelbagaian jenis tanaman, peningkatan hasil dan kandungan nutrisi tanaman, kawalan serangga perosak, dan kecekapan penggunaan tenaga merupakan antara aspek yang perlu diberikan keutamaan. Jesteru, kepakaran tempatan dalam pelbagai bidang termasuk agronomi, biologi, bioteknologi dan kejuruteraan wajar dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti tanaman dan kecekapan sistem tanaman vertikal supaya akses kepada hasil segar yang berkualiti bagi penduduk di kawasan bandar dapat ditingkatkan.  


Menyedari potensi pertanian vertikal, penyelidikan giat dijalankan oleh IPTA dan institut penyelidikan terutamanya oleh pihak MARDI sejak hampir 10 tahun lalu. Malah, Universiti Kebangsaan Malaysia bakal menubuhkan kilang tanaman serta kemudahan penyelidikan berkaitan pertanian vertikal persekitaran terkawal di kampus induk di Bangi yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2025 menggunakan teknologi yang dibangunkan bersama dengan pihak MARDI. 


Geran padanan juga disediakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi pembangunan Pertanian Vertikal Persekitaran Terkawal bagi tanaman bernilai tinggi dengan kadar insentif sehingga RM 200,000. Melalui inisitaif ini juga, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan teknologi Veggie Factory yang membolehkan pertanian vertical persekitaran terkawal diaplikasikan di dalam kawasan bangunan industri mahupun di dalam unit kediaman.


Sebagai kesimpulan, pertanian vertikal persekitaran terkawal berperanan penting dalam memacu transformasi yang tidak hanya menangani cabaran keterjaminan makanan SDG2 tetapi juga menjadi paltform bagi masa depan industri pertanian yang lebih lestari dan cekap. Melalui penggabungan kemajuan teknologi, pengurusan pertumbuhan tanaman yang tepat, dan penggunaan sumber yang cekap, pertanian vertikal berpotensi muncul sebagai sandaran penting dalam usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang bernutrisi dan berdaya tahan.

Daun salad yang dikultur di Kilang Tanaman MARDI