Penyelesaian Pintar untuk Hasil Melimpah: Sistem Akuakultur Integrasi Ikan Keli dan Tanaman Daratan

12 Julai 2024

Ditulis oleh:

Dr. Siti Jalilah Mohamad

(jalilah@umt.edu.my)


Pasca Doktoral

Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE), Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP),

Universiti Malaysia Terengganu 

Prof. Madya Dr. Liew Hon Jung

(honjung@umt.edu.my)


Pensyarah

Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE), Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP),

Universiti Malaysia Terengganu 

Akuakultur integrasi merupakan satu pendekatan pertanian mampan yang menggabungkan ternakan akuatik dengan aktiviti penanaman tumbuhan. Sistem ini menggunakan air buangan kaya nutrien dari ternakan ikan untuk menyiram dan membaja tanaman, membentuk hubungan simbiotik yang menguntungkan. Salah satu kombinasi popular dalam akuakultur integrasi adalah ternakan ikan keli bersama tanaman daratan.


       Ikan keli, terutamanya spesies Clarias gariepinus, adalah pilihan yang sesuai untuk akuakultur intensif. Ia mempunyai kadar pertumbuhan yang cepat, ketahanan terhadap persekitaran yang mencabar, dan keupayaan untuk hidup dalam keadaan yang berkepadatan tinggi. Ikan keli diternak dalam tangki seperti tangki konkrit, polietilena atau kanvas, membolehkan pengurusan yang lebih terkawal berbanding kolam tanah konvensional.


       Sistem akuakultur integrasi ikan keli dan tanaman daratan melibatkan tiga komponen utama: tangki stok air, tangki ternakan ikan keli, dan ruang penanaman tumbuhan. Air dari tangki stok dialirkan ke tangki ikan, dan air buangan yang kaya nutrien daripada tangki ikan kemudiannya disalurkan ke kawasan penanaman untuk menyiram dan membaja tanaman.


       Pengurusan ternakan ikan keli dalam sistem integrasi melibatkan beberapa aspek penting. Pertama, penukaran air dalam tangki ternakan perlu dilakukan secara berkala untuk mengekalkan kualiti air yang optimum. Kedua, pemberian makanan yang sesuai seperti pelet ikan atau makanan rumusan buatan sendiri perlu dilakukan mengikut jadual dan jumlah yang tepat untuk menggalakkan pertumbuhan ikan yang sihat. Ketiga, pemantauan pertumbuhan ikan dan proses penggredan adalah penting untuk memastikan pertumbuhan yang seragam dan mengelakkan kanibalisme.


       Pemilihan tanaman daratan dalam sistem akuakultur integrasi adalah penting untuk memaksimumkan manfaat dan kecekapan sumber. Tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan herba dipilih berdasarkan kesesuaian, tempoh kitaran hidup, dan manfaat tambahan seperti penghalau serangga atau sumber nutrisi tambahan untuk ikan. Air buangan dari ternakan ikan yang dianggap sebagai baja semulajadi digunakan untuk menyiram tanaman, walaupun baja organik tambahan mungkin diperlukan untuk membantu pertumbuhan tanaman.

Projek sistem akuakultur integrasi ikan keli dan tanaman sayur-sayuran seperti terung dan cili telah berjaya dilaksanakan di sebuah pusat komuniti Kuala Nerus, Terengganu atas bimbingan penyelidik dari AKUATROP, UMT.

       Akuakultur integrasi ikan keli dan tanaman daratan mempunyai beberapa kelebihan signifikan. Pertama, ia mempromosikan penggunaan sumber yang cekap dengan memanfaatkan air buangan dari ternakan ikan sebagai baja untuk tanaman. Kedua, ia menggalakkan keseimbangan ekologi dengan mewujudkan hubungan simbiotik antara ikan dan tanaman. Ketiga, ia mengoptimumkan pengeluaran dengan menghasilkan hasil ternakan ikan dan tanaman dalam satu sistem. Akhir sekali, ia mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dengan mengurangkan keperluan baja kimia dan penggunaan air yang berlebihan.


       ‘Program Pemindahan Ilmu’ berkaitan sistem akuakultur integrasi ikan keli dan tanaman daratan yang dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di bawah pimpinan Prof. Madya Dr. Liew Hon Jung bersama komuniti setempat di Terengganu merupakan salah satu inisiatif penting dalam merealisasikan agenda nasional yang dipacu oleh inspirasi YB Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme) ini bertujuan untuk memastikan hasil kajian dari institusi pengajian tinggi dapat dimanfaatkan seoptimal mungkin kepada masyarakat setempat.


       Sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang bervisikan 'Makanan Masa Hadapan - Future Food', AKUATROP telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan dan menggalakkan masyarakat mempraktikkan amalan akuakultur secara integrasi. Melalui program ini, ilmu pengetahuan dan teknologi terkini dalam akuakultur integrasi dapat dipindahkan kepada komuniti untuk diaplikasikan dalam aktiviti pertanian mereka. Selain meningkatkan kecekapan pengeluaran, program ini juga dapat membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.


       Secara kesimpulannya, melalui penggunaan air buangan kaya nutrien daripada ternakan ikan untuk membaja tanaman, sistem akuakultur integrasi ikan keli dan tanaman daratan mampu membentuk hubungan simbiotik yang menguntungkan, mengoptimumkan pengeluaran hasil berganda, dan mengurangkan kesan buruk terhadap persekitaran. Justeru, inisiatif seperti Program Pemindahan Ilmu AKUATROP memainkan peranan penting dalam memasyarakatkan amalan akuakultur integrasi ini, merealisasikan agenda penyelidikan nasional, dan menyumbang kepada pengeluaran makanan yang lebih lestari dan menyeluruh untuk masa depan negara.