Kulat Colletotrichum sp. Punca Masalah Antraknosa pada Cili di Malaysia
18 September 2024
Ditulis oleh:
Dr. Muhamad Firdaus Syahmi Sam-on
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Makanan,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Cili merupakan salah satu tanaman yang penting di Malaysia, digunakan secara meluas dalam masakan tempatan dan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Walau bagaimanapun, penanaman cili menghadapi pelbagai cabaran, salah satunya adalah serangan penyakit antraknosa yang disebabkan oleh kulat Colletotrichum spp. (Zakaria, 2021). Penyakit ini telah menyebabkan kerugian yang signifikan kepada petani cili di seluruh negara. Antraknosa menyerang semua bahagian tumbuhan cili tetapi kesan paling ketara boleh dilihat pada buah cili. Rajah 1 menunjukkan gejala yang paling ketara iaitu bulatan coklat gelap atau kesan seperti terbakar pada buah cili api bara yang menyebabkan buah menjadi lembik dan busuk. Ini bukan sahaja mengurangkan kualiti dan hasil tanaman tetapi juga menghalang cili daripada dipasarkan, sekaligus menjejaskan pendapatan petani.
Selain itu, serangan antraknosa juga boleh menyebabkan kerugian sebelum dan selepas penuaian, kerana buah cili yang kelihatan sihat semasa dipetik mungkin menunjukkan tanda-tanda kerosakan semasa penyimpanan atau pengangkutan. Antraknosa disebabkan oleh kulat Colletotrichum spp. yang tersebar melalui pelbagai cara termasuk angin, air hujan, dan peralatan pertanian yang tercemar. Ini kerana kulat menyebar melalui spora yang dihasilkan. Walaupun hanya sepohon pokok yang dijangkiti, spora yang terhasil dapat menyebabkan jangkitan merebak dengan cepat ke pokok lain jika tiada langkah pantas diambil oleh petani (Aqsa et al., 2020). Iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun memberikan persekitaran yang ideal bagi perkembangan kulat ini. Penanaman secara monokultur juga mempercepatkan penyebaran penyakit ini kerana kurangnya variasi genetik yang boleh memberi rintangan kepada serangan kulat.
Menguruskan antraknosa memerlukan pendekatan yang holistik dan integratif. Amalan Pertanian Baik melibatkan penggunaan benih yang sihat dan tahan penyakit, pengurusan tanah yang baik, serta pemantauan berkala terhadap tanaman untuk mengesan gejala awal penyakit. Kawalan Kimia melibatkan penggunaan fungisida yang berkesan untuk mengawal antraknosa, namun penggunaannya perlu dikawal bagi mengelakkan perkembangan rintangan kulat terhadap bahan kimia dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Kawalan Biologi pula melibatkan penggunaan agen biologi seperti Trichoderma spp. yang merupakan antagonis semula jadi kepada kulat Colletotrichum spp. (Sam-On et al., 2024). untuk mengurangkan serangan antraknosa. Pengurusan Kultur termasuk rotasi tanaman dan penjarakan tanaman yang betul untuk mengurangkan penyebaran penyakit, serta pemangkasan daun yang dijangkiti dan pengurusan sisa tanaman untuk mengurangkan inokulum penyakit di ladang.
Selain itu, teknologi Internet of Things (IoT) memainkan peranan penting dalam mengawal antraknosa pada tanaman cili (Bano et al., 2020). IoT membolehkan pemantauan keadaan ladang secara masa nyata melalui sensor yang dipasang untuk mengukur parameter seperti kelembapan tanah, suhu, dan kelembapan udara. Data yang dikumpul dapat membantu petani membuat keputusan yang tepat dan pantas dalam menguruskan penyakit ini, termasuk mengesan gejala awal serangan kulat dan mengoptimumkan penggunaan fungisida. Dengan integrasi IoT, kecekapan dalam pengurusan ladang dapat ditingkatkan, sekaligus mengurangkan kerugian hasil dan meningkatkan produktiviti tanaman cili.
Masalah antraknosa pada cili di Malaysia merupakan cabaran besar kepada industri pertanian tempatan. Walaupun penyakit ini sukar dikawal, dengan gabungan amalan pertanian baik, kawalan kimia dan biologi, serta pengurusan kultur yang betul, serangan antraknosa boleh dikurangkan. Tidak dilupakan, teknologi baru seperti IoT telah membuka lebih banyak peluang kepada petani bagi mengawal penyakit antraknosa dengan lebih cekap. Kerjasama antara petani, penyelidik, dan pihak berkuasa pertanian amat penting untuk memastikan keberkesanan langkah-langkah kawalan yang diambil. Dengan pendekatan yang menyeluruh, industri penanaman cili di Malaysia boleh terus berkembang dengan hasil yang tinggi dan berkualiti.
Rajah 1: Pokok cili api bara yang terkena penyakit antraknosa. Buah cili yang terkena panyakit boleh dilihat pada bulat berwarna kuning.
Rujukan:
Aqsa, A., Kanlaya, S., Siriluk, C., Apiradee, U., & Pongphen, J. (2020). Effect of ATZ nanoparticles on colletotrichum gloeosporioides growth and chili seed quality during storage. SEATUC journal of science and engineering, 1(2), 32-38.
Bano, R., Toqir, S. M., & Rahman, H. (2020). Detection of Anthracnose Disease in Chili Using IOT and Field Data. LC International Journal of STEM (ISSN: 2708-7123), 1(2), 75-82.
Sam-On, M. F. S., Mustafa, S., Yusof, M. T., Hashim, A. M., & Aizuddin, K. N. A. K. (2024). Exploring the Global Trends of Bacillus, Trichoderma and Entomopathogenic Fungi for Pathogen and Pest Control in Chili Cultivation. Saudi Journal of Biological Sciences, 31(8).
Zakaria, L. (2021). Diversity of Colletotrichum species associated with anthracnose disease in tropical fruit crops—A review. Agriculture, 11(4), 297.