Konflik Ular dan Manusia Pada Musim Kemarau

18 Mei 2023

Ditulis oleh:

Prof. Dr. Norhayati Ahmad

(norhayatiahmad@ukm.edu.my)


Profesor

Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,

Fakulti Sains dan Teknologi,

Universiti Kebangsaan Malaysia


Timbalan Pengarah

Perancangan dan Strategi,

Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM)

Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan kes tangkapan ular meningkat, dan salah satunya ialah keadaan cuaca yang panas dan kering, tetapi ini hanya melibatkan spesies ular yang boleh hidup di habitat terganggu seperti belukar, taman, kebun, ladang pertanian, dan sebagainya.

Ular ialah haiwan ektotermi atau haiwan berdarah sejuk. Darah sejuk merujuk kepada sistem kawalan suhu badan. Suhu badan reptilia meningkat apabila suhu luaran meningkat. Apabila suhu turun, suhu badannya juga turun, seperti pada waktu malam. Jika reptilia berasa sejuk kerana suhu luaran telah menyebabkan darahnya sejuk, dia akan berjemur di bawah matahari untuk memanaskan badan sebelum boleh melakukan aktiviti seperti mencari makanan atau mangsa.


Walau bagaimanapun, jika suhu luaran terlalu tinggi, ular akan mencari teduh seperti di bawah batu, kayu pokok tumbang, di dalam lubang pokok, di atas pokok, menyelam di dalam kolam atau di mana sahaja yang boleh menyejukkan badan. Reptilia yang terdedah kepada perubahan suhu yang melampau tidak dapat mengawal suhu badan secara dalaman. Mereka Ular boleh mengawal suhu badan mereka hanya dengan bergerak ke persekitaran dengan suhu persekitaran yang sesuai, dan kalau di kawasan petempatan manusia seperti di bandar dan kampung, persekitaran yang sesuai ini termasuklah di dalam rumah, longkang, parit, dan alur air.


Semasa cuaca panas melampau, haiwan berdarah sejuk seperti Reptilia akan mengalami estivasi, atau tempoh tidak aktif. Estivasi berbeza dengan hibernasi atau tidur pada musim sejuk, iaitu haiwan merendahkan kadar metabolisme pada musim sejuk sehingga hanya boleh melakukan aktiviti tidur sahaja. Estivasi pula ialah tidur pada musim panas, iaitu haiwan merendahkan kadar metabolisme pada musim panas tetapi pada tempoh yang lebih singkat daripada musim sejuk dan haiwan akan mencari tempat yang sejuk, lembap dan redup. Ini ialah untuk mengurangkan kehilangan air daripada badan yang melampau sehingga merosakkan organ dalam badan. Oleh itu, cuaca yang terlalu panas dan kering tidak mendorong ular untuk membiak lebih banyak.   


Ular memerlukan suhu panas untuk menjadi aktif selepas terjaga daripada tidur pada waktu malam kerana sifat ektotermi, iaitu ular bergantung kepada suhu persekitaran semasa (ambien) untuk mengekalkan proses fisiologi asas, termasuklah untuk melakukan kerja seperti bergerak dengan aktif. Ular biasanya hidup dalam persekitaran yang lembap dan panas. Kelembapan semulajadi di dalam udara membantu kulit dan saluran pernafasan kekal lembap. Kedua-dua faktor suhu dan kelembapan memang penting untuk ular dalam menjalankan proses penghadaman makanannya. 


Pertembungan haiwan ular dengan manusia bukanlah satu fenomena. Manusia sering bertembung dengan ular sama ada pada musim panas atau tidak. Contohnya, sekiranya terdapat aktiviti pembinaan berhampiran dengan kawasan petempatan manusia sedia ada, dan melibatkan pembukaan tanah berhutan atau vegetasi, maka insiden ular memasuki rumah juga biasa dilaporkan. Selain itu, apabila berlaku banjir, ular juga biasa memasuki rumah sama ada secara tidak sengaja seperti dibawa arus banjir atau sengaja untuk mencari perlindungan.


Semua haiwan Reptilia selain ular, seperti cicak dan biawak juga mempamerkan lakuan yang sama seperti ular. 


Biasanya ular tidak membuat sarang, kecuali ular tedung. Ular akan masuk ke dalam sarang dan atau rongga sedia ada yang dibuat oleh haiwan lain. Atau, ular akan menggunakan ruang kecil, gelap dan sejuk sebagai sarang. Di habitat semula jadi, ular betina biasanya bertelur di bawah tanah gembur atau pasir, yang bertindak sebagai inkubator. Namun demikian, selepas bertelur, ular betina akan tinggalkan sarang dan tidak akan mengeram atau menjaga telur, kecuali ular sawa dan sesetengah ular kapak yang akan menjaga anak sehingga sekurang-kurang selepas salin kulit yang pertama. Ular kecil bertelur antara 10-30 biji, manakala ular besar boleh bertelur sehingga 100 biji.  

Ular hanya akan menunjukkan lakuan agresif apabila mempertahankan diri daripada musuh atau melindungi sarang. Tiada kaitan dengan faktor cuaca. Perkara yang paling penting apabila bertembung dengan ular di dalam rumah ialah jangan cuba untuk menangkap sendiri. Panggil bomba dengan segera dengan menelefon nombor 999. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memberi perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang profesional dan cekap termasuklah menangkap ular.


Mencegah lebih baik daripada menyelesaikan masalah. Oleh itu, pastikan kawasan rumah tidak berselerak dengan terlalu banyak barang sehingga menjadi kawasan haiwan boleh berlindung seperti terlalu banyak pasu, kotak atau perabut di luar dan dalam rumah. Seeloknya, semua barang diletak di atas para dan bukan di atas lantai. Tumbuhan atau tanaman hias juga memain peranan. Cantaslah pokok yang terlalu tinggi sehingga menjadi hampir atau melepasi paras bumbung rumah. Ular boleh memasuki rumah melalui pokok sebegini. Rumah yang mempunyai kucing atau anjing biasanya tidak akan dimasuki oleh ular atau haiwan roden seperti tikus atau cencurut. Akhir sekali, ada banyak bau yang tidak disukai ular termasuk asap, kayu manis, cengkih, bawang merah, bawang putih, dan limau nipis. Gunakanlah minyak atau semburan yang mengandungi wangian ini atau menanam tumbuhan yang mengeluarkan bau ini.


Banyak cerita dan kepercayaan budaya menyumbang kepada perasaan takut kepada ular. Oleh itu, ramai orang apabila bertembung dengan ular akan terus ingin pukul sehingga mati. Hakikatnya ialah daripada sejumlah 191 spesies ular di Malaysia, hanya 26 spesies ular di Malaysia yang merbahaya atau berbisa kepada manusia, atau 14% sahaja, iaitu  (11 spesies Elapidae termasuk ular tedung, ular katam tebu, ular karang, dan 15 spesies famili Viperidae iaitu ular kapak). Biasanya ular berbisa seperti ular kapak (15 spesies) mudah dikenali kerana bentuk kepalanya yang segi tiga. Ular tedung (3 spesies) juga lebih dikenali manusia kerana saiznya yang besar dan panjang serta kepalanya yang boleh dikembang menjadi lebih besar dan pipih. Ular katam tebu (3 spesies) mempunyai belang sama lebar sama ada warna hitam dan putih atau hitam dan kuning dan ada yang mempunyai kepada dan hujung ekor berwarna merah terang. Ular karang pula (ada 5 spesies) biasanya mempunyai badan berwarna terang seperti merah atau jingga atau berjalur warna terang. Maklumat dan gambar spesies berbisa boleh diperolehi daripada laman sesawang Sistem Maklumat Kepelbagaian Biologi Malaysia atau MyBIS (Malaysia Biodiversity Information System).


Namun demikian, ular memainkan peranan yang penting dalam ekosistem tabiinya. Ular mengimbangi rangkaian makanan di habitat darat sebagai pemangsa dan juga mangsa kepada haiwan lain. Ular tedung spesies Ophiophagus hannah atau ular tedung selar yang digeruni manusia sebenarnya memakan ular lain (ophio bermakna ular, dan phagus bermaksud memakan). Oleh itu, sepesies ular yang memakan ular lain (biasanya spesies ular berbisa) mengawal populasi ular tersebut. Ular juga mengawal populasi roden seperti tikus, termasuk di kawasan sawah padi dan ladang kelapa sawit. Tanpa ular, populasi tikus yang tidak terkawal akan mengakibatkan kerosakan kepada tanaman padi dan kelapa sawit dan akan menyebabkan kerugian ekonomi. Lebih penting lagi, tanpa kawalan semula jadi ular, wabak penyakit yang dibawa oleh tikus seperti leptospirosis atau kencing tikus, plague (hawar) akan meninggalkan kesan yang lebih buruk lagi kepada kesihatan awam manusia.