Kembara Sains Chem – E Car 2023
13 Januari 2024
Ditulis oleh:
Ts. Leong Kok Seng
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN)
Dr Azmi bin Ahmad
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN)
Sunatrah binti Abdullahyi
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN)
Program Kembara Sains Chem – E Car 2023 menjadi sejarah sebagai program pertama yang dijalankan secara fizikal oleh Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN). Program ini dilaksanakan dalam dua fasa dengan penyertaan dari pensyarah dan pelajar PTSN, serta melibatkan komuniti setempat. Matlamat dan tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kesedaran, pendidikan, dan pemindahan ilmu dengan tujuan menghasilkan prototaip kenderaan yang memberi impak pada bidang sains dan teknologi hijau. Sebagai tuan rumah, pelajar dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Proses (Petrokimia) PTSN, bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah program Kesedaran dan Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), telah menjayakan program ini yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh dari 10 hingga 11 Oktober 2023. Penajaan Program Kesedaran Dan Pembudayaan Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) oleh MOSTI bertujuan untuk mengintegrasikan elemen sains dan teknologi dalam pemikiran, kepercayaan, dan kebiasaan masyarakat, dengan harapan mencipta masyarakat yang mampu mengaplikasikan teknologi dalam kehidupan seharian. Oleh itu, program ini dijalankan secara menyeluruh termasuk pertandingan cabaran dan juga poster, dan program ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar-pelajar terutamanya bidang kejuruteraan.
Fasa pertama program, pada 10 Oktober 2023, di Dewan Serbaguna, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, melibatkan 200 peserta dari kalangan pensyarah dan pelajar. Objektif utama fasa ini adalah untuk membentuk platform perbincangan mengenai perkembangan penyelidikan dalam industri teknologi hijau dan berkongsi ilmu pengetahuan serta membina interaksi antara ahli kumpulan yang berkesan. Selain itu, pemindahan ilmu berkaitan teknologi sel fuel asas dan latihan praktikal dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran pensyarah dan pelajar terhadap kepentingan memahami bidang sains dalam penggunaan teknologi hijau dan inovatif dalam industri automotif, sejajar dengan perkembangan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).
Fasa kedua program, pada 11 Oktober 2023, dilaksanakan dengan kerjasama antara Jabatan Kejuruteraan Petrokimia (JKPK) PTSN dan Lotte Chemical Titan di Dewan Serbaguna, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh. Program ini terfokus kepada pertandingan mereka cipta yang bertujuan menguji kemampuan dan daya kreativiti pelajar kejuruteraan kimia. Peserta berpeluang mengambil bahagian dalam cabaran mencipta dan membentuk sebuah kereta mini yang digerakkan oleh sumber kuasa melalui tindak balas kimia. Penggunaan tindak balas kimia yang mampan menjadi keutamaan untuk memastikan teknologi yang digunakan tidak memberi kesan merosakkan alam sekitar dan penggunanya. Kemahiran STEM, termasuk kecekapan dan kompetensi dalam meneroka, menyelesaikan masalah, membentuk, dan menghasilkan produk, ditekankan dalam pertandingan ini. Kejayaan peserta diukur oleh keupayaan kereta untuk berhenti dengan tepat di garisan tamat atau hentian yang ditetapkan, sambil membawa beban tertentu.
Sebanyak 100 peserta daripada 10 kumpulan terpilih turut serta dalam pertandingan ini, menunjukkan kreativiti dan inovasi dalam bidang sains dan teknologi. Para juri khas, Encik Wan Zulkarim daripada Lotte Chemical Titan turut datang untuk memberi komen dan cadangan penambahbaikan yang bernas berdasarkan pengalaman mereka mengenai prototaip kereta mini tersebut. Encik Wan Zulkarim berkata, motivasi dan kesungguhan seseorang pelajar juga faktor penentu kejayaan individu terutama mereka yang berdepan isu ketika membina prototaip kereta mini tersebut. Program ini dirasmikan oleh Ts. Hamdan bin Samdin, selaku Pengarah PTSN, yang menyifatkan program ini berjaya mencungkil idea-idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia, memperkasakan bakat mereka, dan memberikan peluang untuk bersaing dalam memperkembangkan idea masing-masing.
Program ini turut memberikan impak positif kepada komuniti dengan menyediakan peluang kepada warga komuniti, pelajar, dan pensyarah dari Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Pagoh, Johor, untuk menyaksikan program berperingkat kebangsaan ini. Pelawat berpeluang berinteraksi dengan peserta dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai prototaip yang dibangunkan oleh peserta pertandingan.
Harapan program ini adalah untuk membentuk mahasiswa yang holistik, tidak hanya cemerlang dalam bidang teknikal, tetapi juga mampu berkomunikasi secara efektif, memiliki daya tahan tinggi, kedewasaan, dan mampu bersaing secara sihat. Keterlibatan peserta dari universiti antarabangsa diharap dapat meningkatkan semangat dan daya saing mahasiswa tempatan. Segala usaha ini sejajar dengan hasrat PTSN untuk menjadi politeknik bertaraf global menjelang tahun 2025.