Kemalangan di Tempat Kerja: Teori Domino
23 Oktober 2023
Ditulis oleh:
Dr. Siti Marwanis Anua
Pensyarah
Unit Sains Kesihatan Interdisiplin,
Pusat Pengajian Sains Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia
Pengenalan
Mengapa kemalangan berlaku di tempat kerja? Persoalan ini telah menjadi tumpuan para pengurus serta pihak yang dipertanggungjawabkan tentang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Beberapa teori penyebab kemalangan telah dihasilkan bagi menerangkan kenapa kemalangan berlaku. Model-model berasaskan teori tertentu digunakan utk meramal dan mencegah kemalangan daripada terus berlaku. Jika punca kemalangan dapat dikenalpasti, langkah yang sesuai boleh diambil untuk mencegah kemalangan.
Kes kemalangan yang dilaporkan menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah sebanyak kira-kira 60,000 setiap tahun. Pada tahun 2022, daripada 64,168 kes kemalangan dilaporkan kepada PERKESO, sebanyak 35,015 kes adalah kemalangan industri atau kemalangan di tempat kerja manakala 29,153 kes adalah kemalangan perjalanan dan berulang-alik ke tempat kerja (Harian Metro, 2023). Isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) adalah serius kerana setiap bencana pekerjaan adalah satu kos kepada masyarakat dan negara.
Walaupun jumlah kemalangan yang dilaporkan telah menurun, tetapi jika dikaji bayaran pampasan akibat hilang upaya sementara atau kekal, pencen ilat, adalah didapati bayaran ini semakin meningkat. Menurut PERKESO, pada tahun 2023, sebanyak RM3.7 juta peruntukan Geran Bantuan Kewangan disediakan untuk 38 NGO dan institusi bagi melaksanakan 600 program pencegahan kemalangan dan kesedaran KKP. Justeru, para pengurus perlu memberi perhatian yang serius terhadap pencegahan kemalangan di tempat kerja.
Teori Domino
Terdapat pelbagai teori penyebab kemalangan untuk memberi kefahaman mengapa kemalangan berlaku dan mencegahnya daripada berlaku pada masa akan datang. Antara teori utama yangg akan dibincangkan ialah Teori Domino
Perintis awal kepada pencegahan kemalangan dan keselamatan industri ialah Herbert W. Heinrich, seorang pegawai di sebuah syarikat insurans. Beliau telah mengkaji 75,000 laporan kemalangan industri dan membuat laporan berikut:
88% kemalangan industri disebabkan oleh tindakan tidak selamat yang dilakukan oleh para pekerja
10% kemalangan industri disebabkan keadaan tidak selamat
2% kemalangan industri disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.
Berdasarkan kajian tersebut, Heinrich telah menghasilkan 10 prinsip yg dikenali sebagai Prinsip Keselamatan Industri yang menjadi asas kepada Teori Domino. Prinsip-prinsip ini boleh diringkaskan seperti berikut:
Kecederaan disebabkan oleh satu rangkaian faktor yang lengkap dan kemalangan itu sendiri merupakan salah satu daripada faktor dalam rangkaian tersebut.
Sesuatu kemalangan yang berlaku hanya disebabkan oleh tindakan tidak selamat seseorang dan/atau keadaan fizikal atau mekanikal yang berbahaya.
Kebanyakan kemalangan adalah berpunca daripada tindakan tidak selamat yang dilakukan oleh manusia.
Perlakuan tidak selamat atau keadaan tidak selamat tidak semestinya menyebabkan kemalangan atau kecederaan.
Alasan seseorang itu melakukan tindakan tidak selamat boleh menjadi petunjuk atau pengajaran dalam memilih perlakuan yang betul.
Keseriusan sesuatu kemalangan tidak boleh dirancang atau tidak boleh dijangka tetapi yang pastinya, kemalangan itu dapat dielakkan.
Satu teknik pencegahan kemalangan yang terbaik adalah setanding dengan teknik kualiti dan produktiviti yang terbaik.
Pihak pengurusan mesti bertanggungjawab terhadap keselamatan, memandangkan kedudukannya sebagai majikan iaitu orang yang membuat keputusan.
Penyelia merupakan orang penting bagi mencegah kemalangan industri.
Terdapat juga kos lain yang tidak nyata yang perlu ditanggung oleh majikan selain daripada kos langsung akibat kemalangan seperti pampasan, kos hospital dan ubat.
Prinsip keselamatan industri tersebut merupakan pengetahuan asas dalam pencegahan kemalangan. Henrich kemudiannya telah membina teori penyebab kemalangan berasaskan prinsip ini yang dikenali sebagai Teori Domino. Menurut Heinrich, terdapat lima faktor berurutan yang menyebabkan sesuatu kemalangan.
Seperti satu barisan domino, jika satu faktor tumbang, faktor-faktor lain juga turut tumbang satu demi satu, yang berakhir dengan kecederaan. Faktor-faktor tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:
1. Keturunan dan persekitaran sosial
Sifat negatif yang mendorong seseorang untuk berkelakuan tidak selamat dipercayai boleh diwarisi daripada baka (keturunan) ibu bapa atau diperoleh daripada persekitaran sosial.
2. Kesilapan
Sifat-sifat negatif, sama ada diwarisi atau diperoleh merupakan sebab mengapa seseorang itu berkelakuan ttidak selamat dan sebab kenapa wujudnya keadaan yang berbahaya.
3. Tindakan tidak selamat atau bahaya mekanikal atau fizikal
Tindakan tidak selamat yang dilakukan oleh seseorang dan hazard mekanikal atau fizikal merupakan penyebab langsung sesuatu kemalangan.
4. Kemalangan
Lazimnya, kecederaan akibat kemalangan berpunca daripada jatuh dan impak/hentaman daripada objek-objek yang bergerak.
5. Kecederaan
Secara amnya, kecederaan termasuk luka dan patah disebabkan oleh kemalangan memberi kesan negatif kepada prestasi pekerja.
Berdasarkan lima faktor berurutan tersebut, Heinrich mengemukakan dua prinsip utama iaitu:
Kecederaan adalah disebabkan oleh kesan dari perlakuan faktor-faktor terdahulu/sebelumnya.
Menghapus faktor penengah (iaitu tidak selamat/keadaan berbahaya) akan menghalang perlakuan daripada faktor-faktor sebelumnya dan, dengan demikian akan mencegah kemalangan dan kecederaan daripada berlaku.
Kesimpulan
Berdasarkan teori penyebab kemalangan iaitu Teori Domino yang telah dibincangkan, secara teori, kemalangan dapat dielakkan. Namun, secara praktikalnya, berdasarkan teori semata-mata kita tidak akan dapat meramalkan punca sebenar kemalangan secara tepat. Justeru, kesesuaian persekitaran tempat kerja dan gelagat pekerja perlu diambilkira bagi menilai bahaya pekerjaan serta program-program pencegahan kemalangan.
Rujukan
Harian Metro. 2023. diakses pada 19 Julai 2023, capaian dari laman sesawang: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/02/931883/perkeso-terima-60000-laporan-kes-kemalangan-di-tempat-kerja-setahun
Heinrich, Herbert William. 1931. Industrial accident prevention: A scientific approach. New York. McGraw-Hill.
Marsden, E. 2017. Heinrich’s domino model of accident causation. https://risk-engineering.org/concept/Heinrich-dominos