Jom Kenali Tumbuhan Kecil Purba: Lumut

24 Jun 2023

Ditulis oleh:

Dr. Nik Norhazrina binti Nik Mohd Kamil 

(riena@ukm.edu.my)


Pensyarah Kanan

Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,

Fakulti Sains dan Teknologi,

Universiti Kebangsaan Malaysia


Penyelaras

Herbarium Universiti Kebangsaan Malaysia

Program Kualiti Siswazah

Istilah “Lumut” berasal daripada perkataan Greek iaitu βρύον (bryon) dan φυτόν (phyton) yang membawa maksud tumbuhan hijau yang kecil. Lumut wujud seawal Zaman Permian (298.9 juta hingga 251.9 juta tahun dahulu), dan lebih daripada 100 spesies telah dikenal pasti daripada fosil zaman Paleogene dan Neogene (66 juta hingga 2.58 juta tahun dahulu). Ia digolongkan dalam kumpulan tumbuhan rendah bersama-sama dengan alga dan paku pakis, yang mana ketiga-tiga tumbuhan ini membiak melalui penyebaran spora. Namun, lumut dan alga tidak mempunyai tisu vaskular, berbeza dengan paku pakis yang mempunyai struktur tersebut. Lumut juga tidak mempunyai akar sebenar tetapi mempunyai struktur seakan-akannya dikenali sebagai rizoid yang berfungsi untuk perlekatan pada substrat.


       Lumut terbahagi kepada tiga jenis iaitu lumut jati (Bryophyta), lumut hati (Marchantiophyta) dan lumut tanduk (Anthocerotophyta), yang mana Bryophyta merupakan divisi yang terbesar dengan kira-kira 11,000-13,000 takson, diikuti oleh lumut hati dengan 7000-9000 takson dan lumut tanduk dengan 200-250 takson yang telah dilaporkan di seluruh dunia. Lumut boleh dijumpai di semua habitat di dunia kecuali di dalam laut. Hal ini disebabkan oleh kemampuannya untuk menyerap air dan menahan kekeringan, namun ia tidak rintang kepada kemasinan air laut.


       Kitar hidup lumut terdiri daripada dua fasa iaitu fasa gametofit dan fasa sporofit, yang disebut juga sebagai selangan generasi. Fasa gametofit adalah haploid (n) iaitu setiap sel mengandungi hanya satu set kromosom, manakala fasa gametofit adalah diploid (2n) iaitu setiap sel mengandungi dua set kromosom. Proses mitosis menghasilkan gamet iaitu sperma (sel seks jantan) yang dihasilkan dalam anteridium dan ovum (sel seks betina) yang dihasilkan dalam arkegonium. Sperma yang matang akan berenang menuju ke ovum dengan bantuan air untuk bersenyawa dan membentuk zigot, yang kemudiannya bercambah dan menjalani proses meiosis untuk menghasilkan sporofit. Sporofit membentuk kapsul di bahagian hujung yang mengandungi spora akan dibebaskan apabila telah matang. Spora kemudiannya akan bercambah membentuk protonema dan tumbuh menjadi gametofit baru. Fasa sporofit berhayat pendek dan bergantung hidup sepenuhnya pada gametofit, manakala, fasa gametofit adalah dominan, berhayat panjang dan hidup bebas.

       Struktur gametofit bagi lumut jati terdiri daripada daun, batang, rizoid dan protonema. Kemunculan struktur gametofit bermula dengan penyebaran spora, penghasilan tiub cambah dan seterusnya pembentukan protonema. Pada awalnya, protonema akan meliputi substrat bagi memulakan percambahan dan tunas/pucuk daun akan muncul. Seterusnya, akan terbentuk batang dan percabangan dahan bagi lumut jati. Percabangan secara menegak atau menaik dikenali sebagai akrokarpa, manakala percabangan secara menjalar atau melata dikenali sebagai pleurokarpa. Struktur rizoid berfungsi sebagai sokongan utama kepada lumut jati melalui perlekatannya kepada substrat. Selain itu, struktur batang pula menjadi medium bagi percabangan yang lebih banyak dan juga daun. Bahagian daun terdiri daripada apeks (atas daun), tengah daun dan pangkal daun (bawah daun).


       Struktur sporofit terdiri daripada kaki, seta dan kapsul/sporangium. Bahagian kapsul meliputi teka, peristom, anulus dan operkulum. Kaki berfungsi untuk menyerap nutrien dan sebagai sokongan. Seta pula berperanan untuk memegang kapsul, yang mana kapsul merupakan tempat penyimpanan spora. Teka adalah jasad utama badan kapsul dan anulus merupakan gegelang sel elastik yang khusus dan besar pada mulut kapsul kebanyakan lumut jati yang membantu dalam peluruhan operkulum. Sementara operkulum adalah tudung yang menutupi mulut kapsul dan peristom merupakan gigi yang biasanya tunggal atau duaan dalam mulut kapsul lumut jati.


       Lumut jati mempunyai dua jenis habit atau pertumbuhan yang utama iaitu akrokarpa dan pleurokarpa. Jenis akrokarpa menghasilkan arkegonium (organ seks betina) dan kemudian sporofit pada satu hujung utama batang (terminal). Kebanyakan lumut jati jenis akrokarpa hidup secara menegak, berumpun dan jarang menghasilkan percabangan. Pleurokarpa pula sebaliknya, habit jenis ini menghasilkan arkegonium pada dahan sisi yang pendek. Hasilnya, sporofit tumbuh di sisi bukannya di terminal. Lumut jati jenis pleurokarpa kebanyakannya prostrat, membentuk tikar dan banyak percabangan.


       Lumut merupakan tumbuhan perintis (pelopor) yang tumbuh di suatu tempat sebelum tumbuhan lain mampu tumbuh di situ, seperti di atas tanah dan batu yang terdedah. Ia juga berupaya membentuk koloni yang dapat menjangkau kawasan yang luas walaupun mempunyai saiz yang kecil. Kepelbagaian lumut jati biasanya tinggi di kawasan pergunungan jika dibandingkan dengan kawasan tanah rendah, kerana ia hidup subur di kawasan yang lembap dan teduh. 

Lumut hidup secara terestrial dan juga epifit. Lumut yang hidup secara terestrial tumbuh di atas daratan atau permukaan, manakala lumut yang hidup secara epifit menumpang pada perumah (hos) tanpa menjejaskannya. Habitat lumut jenis terestrial dikenali sebagai terikol (atas tanah/busut) dan rupikol (atas batu). Manakala, bagi habitat jenis epifit pula dikenali sebagai kortikol (atas batang pokok), epifil (atas daun), lignikol (atas kayu reput) dan ramikol (atas ranting).