Jom Kenali Serangga Daun!
23 Oktober 2023
Ditulis oleh:
Puan Zalhasrah Bt Ahmad Fathillah (zalhasrah.af@umk.edu.my)
Pembantu Penyelaras Makmal EXOTEL
Fakulti Perubatan Veterinar,
Universiti Malaysia Kelantan
Dr. Goh Soon Heng
Pensyarah Kanan
Fakulti Perubatan Veterinar,
Universiti Malaysia Kelantan
Ts. Dr. Kamarul Ariffin Bin Kambali @ Hambali (kamarul@umk.edu.my)
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Bumi,
Universiti Malaysia Kelantan
Pengenalan
Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi. Oleh kerana itu, Malaysia tergolong di antara 12 negara terkaya dengan khazanah biodiversiti mega. Di Malaysia bukan hanya terdapat banyak spesies mamalia, reptilia, amfibia, burung dan ikan malah mempunyai pelbagai jenis serangga yang hidup di persekitaran kita. Apa itu serangga?. Serangga merupakan kelompok haiwan invertebrata (tiada tulang belakang) dalam kelas insecta yang paling banyak dijumpai dan tersebar diserata pelusuk dunia. Di antara ciri-ciri utama haiwan serangga adalah bahagian badan yang terbahagi kepada tiga iaitu kepala, toraks dan abdomen, mempunyai tiga pasang kaki, kulit rangka luar yang keras dan berkitin. Terdapat pelbagai spesies serangga yang boleh didapati di persekitaran kita akan tetapi kita seringkali mengabaikan keindahan ciptaan tuhan ini dan fungsi kewujudannya. Mari kita kenali serangga daun yang terkenal di seluruh dunia dan boleh ditemui di hutan negara kita iaitu Malaysia!.
Serangga daun atau nama saintifiknya iaitu Pulchriphyllium giganteum adalah tergolong dalam golongan yang sama dengan serangga ranting (Phasmatodea) yang boleh ditemui di Malaysia, Singapura, Sumatra (Indonesia) dan Thailand. Spesies ini boleh membesar sehingga 10 sentimeter panjang, malah haiwan betina spesies ini pernah direkodkan mempunyai saiz badan sepanjang 15 sentimeter dengan berat sebanyak 50 gram. Maka, tidak hairanlah ia dikenali sebagai serangga yang terberat di dunia. Serangga daun ini bersifat nokturnal iaitu aktif pada waktu malam manakala pada waktu siangnya ia akan menggantungkan dirinya tanpa bergerak di daun yang mereka selalu makan untuk menyerupai seakan daun bagi melindungi dirinya daripada haiwan pemangsa. Serangga daun ini telah dikenali diserata dunia dan selalu dijadikan koleksi seperti di zoo, muzium, institusi pendidikan dan juga sebagai haiwan peliharaan kepada pencinta haiwan eksotik.
Tentang Serangga Daun
Serangga daun sentiasa menghadap ke bahagian atas atau bahagian bawah daun bagi menyamarkan diri mereka seakan daun dengan berkesan. Menariknya, sayap depan mereka menjadi lutsinar apabila diterangi cahaya, dan menyerupai daun sebenar. Walau bagaimanapun, penyamaran ini mempunyai kelemahan yang ketara untuk serangga daun betina. Ia terpaksa mengubah struktur fizikalnya dengan menghilangkan keupayaan untuk terbang dan bergerak dengan pantas. Pengorbanan ini adalah penting untuk kelangsungan hidup kerana ia menjadikan proses penyamaran ke dalam persekitaran berdaun dengan berkesan dan kekal selamat daripada haiwan pemangsa.
Apabila serangga daun diganggu atau terancam, ia akan melakukan tingkah laku penyamaran seperti bergoyang seakan-akan meniru daun yang sedang ditiup oleh angin. Selain itu, serangga daun juga akan berpura-pura mati dengan menjatuhkan diri ke atas tanah untuk mengelak ancaman musuh. Serangga daun hanya memakan daun pokok, akan tetapi ia tidak memakan daun secara sembarangan, hanya spesies daun tertentu sahaja yang dipilih untuk dijadikan sebagai makanannya.
Reproduksi Serangga Daun
Serangga daun memerlukan jantan dan betina dewasa untuk menghasilkan telur yang subur, manakala sesetangah serangga daun tidak memerlukan jantan dewasa untuk menghasilkan telur seperti spesies Pulchriphyllium giganteum, ini kerana kebanyakkan jantannya adalah sangat sukar untuk ditemui. Bilangan telur yang dihasilkan oleh serangga daun betina boleh mencapai sehingga 20 ke 50 biji. Saiz telur serangga daun boleh mencecah sehingga 8 ke 9 milimeter panjang. Telur serangga daun akan mengambil masa di antara 4 hingga 12 bulan untuk menetas. Nimfa yang terhasil biasanya berwarna kemerah-merahan apabila menetas dan akan bertukar ke warna hijau atau kuning selepas mereka bersalin kulit kali ke-3. Bagi serangga daun jantan, ia memerlukan proses bersalin kulit sebanyak 5 kali sebelum menjadi jantan dewasa manakala bagi serangga daun betina, ia memerlukan proses bersalin kulit sebanyak 6 kali sebelum menjadi betina dewasa. Keseluruhan masa yang diambil oleh serangga daun untuk menjadi dewasa adalah kira-kira hampir satu tahun. Serangga daun jantan dewasa boleh hidup selama 6 hingga 8 bulan manakala betina dewasa pula boleh hidup sehingga 1 tahun lamanya.
Pemeliharaan dan Penjagaan Serangga Daun
Serangga daun mempunyai penjagaan yang unik dan tersendiri serta tidak mudah dipelihara. Saiz terarium yang besar amatlah diperlukan bagi meletakkan bilangan individu yang banyak. Bagi pasangan serangga daun pula, saiz terarium tidak boleh kecil daripada 40×40×40 sentimeter (16 inci). Ini adalah bagi menjaga keselesaan dan mengelakkan haiwan berkenaan daripada tekanan. Serangga daun yang dibiak dalam kurungan (ex-situ) kebiasaannya di beri makan daun jambu batu yang boleh didapati dipersekitaran rumah atau nurseri. Bagi haiwan serangga, suhu dan kelembapan amat memainkan peranan yang penting dalam penjagaan dan pemeliharaan mereka. Suhu yang sesuai untuk serangga daun adalah di antara 20°C sehingga 25°C dan kelembapan yang tinggi diperlukan bagi membantu haiwan berkenaan dalam proses bersalin kulit.
Walau bagaimanapun, spesies Pulchriphyllium giganteum ini tersenarai di bawah jadual pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Oleh itu, jika berhasrat untuk menjaga dan memelihara spesies ini sebagai haiwan peliharaan maka perlulah membuat permohonan bagi mendapatkan lesen menyimpan daripada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Fungsi Serangga Daun
Ramai bertanggapan bahawa kebanyakkan serangga adalah haiwan perosak. Tanggapan tersebut adalah tidak benar sama sekali, ini kerana serangga banyak memberi manfaat kepada ekosistem di sekeliling kita termasuk serangga daun. Serangga daun adalah haiwan herbivor yang hanya memakan daun sahaja. Oleh yang demikian, ia melakukan fungsi penting dengan mengurangkan kanopi daun pokok yang tebal bagi membenarkan proses pencahayaan masuk menembusi kanopi pokok berkenaan untuk sampai ke lantai hutan bagi membantu proses kitaran nutrien dipersekitaran kita. Selain itu, najis daripada serangga daun atau serangga daun yang telah mati dapat menjadi baja dan memperkayakan lagi kualiti tanah. Oleh itu, sayangilah apa jua jenis serangga yang berada di sekeliling kita kerana mereka tetap ada memberi manfaat dan fungsi kepada ekosistem kita walau sebesar zarah sekalipun. Memetik ayat daripada Al-Quran surah Al-Anbiya ayat 16, “Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main”.