Herbarium UKMB: Sejarah, Koleksi dan Peranan

26 Mac 2024

Ditulis oleh:

Dr. Nik Norhazrina Nik Mohd Kamil

(riena@ukm.edu.my)


Pensyarah Kanan

Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, 

Fakulti Sains dan Teknologi, 

Universiti Kebangsaan Malaysia


Penyelaras

Herbarium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMB)

Program Kualiti dan Pengajaran Siswazah 

Herbarium Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi (UKMB) telah ditubuhkan pada tahun 1970 dan ditempatkan di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Petaling Jaya pada ketika itu. Usaha untuk menubuhkan Herbarium UKMB ini digembleng oleh beberapa ahli botani, antaranya ialah Mohd Kassim Rejab, Willis Littke dan Dr. Soeriatmadja yang dibantu oleh beberapa orang pembantu makmal seperti Ahmad Zainudin Ibrahim dan Razali Jaman. Tujuan penubuhannya adalah untuk membantu pengajaran kursus botani dan juga kelas amali. Pada tahun 1979, Herbarium UKM telah didaftarkan dalam Index Herbariorum dan akronimnya dikenali sebagai UKMB di seluruh dunia. Pada bulan Jun 1982 sehingga kini, ia ditempatkan di Aras 4, Bangunan Biologi, Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM, 43600 Bandar Baru Bangi, Selangor. Walau bagaimanapun, Bangunan Biologi telah ditutup sejak akhir tahun 2020 kerana menjalani proses fumigasi kulat dan kerja naik taraf yang dijangkakan selesai pada penghujung tahun 2025. Oleh itu, kesemua koleksi spesimen herbarium telah dipindahkan ke penempatan sementara di Dewan Anwar Mahmud, FST, UKM. Oleh itu, tiada pelawat dibenarkan pada ketika ini sehingga dimaklumkan kelak. Besar harapan agar kesemua fasiliti di Herbarium UKMB dibaik pulih supaya lebih kondusif untuk kegunaan pelajar, penyelidik dan juga pelawat.


       Antara pengkaji terawal yang mengumpulkan koleksi spesimen herbarium di UKMB ialah pakar taksonomi tumbuhan tinggi yang tidak asing lagi iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad yang telah mengumpulkan banyak spesimen daripada famili Vitaceae, Mr. David T. Jones dengan Rutaceae dan allahyarham Profesor Dr. Kamarudin Mat Salleh dengan Annonaceae. Bagi koleksi paku pakis, spesimen daripada Adiantaceae telah dikumpulkan oleh Profesor Dr. Abdul Aziz Bidin, koleksi lumut pula oleh Encik Ahmad Daman Huri Mohammed, dan koleksi alga oleh Profesor Madya Dr. Ahmad Ismail. Pada bulan Jun tahun 1989, satu perjumpaan antara kesemua kurator di Malaysia telah diadakan di Kuching, Sarawak, yang mana mereka telah membincangkan tentang fungsi, khidmat, isu dan status koleksi spesimen herbarium yang dimiliki. Pada ketika itu, UKMB diwakili oleh Dr. Abdul Latiff Mohamad. Dua tahun selepas itu, prosiding “Status of Herbaria in Malaysia” telah diterbitkan.


       Felo penyelidik di Herbarium UKMB terdiri daripada para pensyarah mengikut bidang kepakaran masing-masing. Taksonomi tumbuhan tinggi (spermatofit) diterajui oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad yang masih aktif dan sentiasa menjadi pakar rujuk, selain Dr. Shamsul Khamis dan Dr. Ahmad Fitri Zohari, manakala ekologi hutan pula oleh Prof. Dr. Mohd Nizam Mohd Said. Seterusnya, bidang pteridologi (paku pakis) oleh Profesor Madya Dr. Haja Maideen Kader Maideen, briologi (lumut) oleh Dr. Nik Norhazrina Nik Mohd Kamil, fikologi (alga) oleh Dr. Nur Farah Ain Zainee dan mikologi (kulat) oleh Dr. Nur ‘Aqilah Mustafa Bakray. Tidak ketinggalan Profesor Madya Dr. Noraini Talip yang pakar dalam bidang anatomi dan palinologi tumbuhan.


       Pengurusan Herbarium UKMB ini dibantu oleh pegawai sains iaitu Encik Shahrim Senik yang bukanlah sepenuhnya bertugas untuk herbarium sahaja, tetapi turut ditindikkan pada unit-unit Muzium Sejarah Alam iaitu Muzium Zoologi, Koleksi Serangga, Muzium Geologi, Bank Benih dan juga Koleksi Kultur. Beberapa orang penolong pegawai sains turut terlibat dalam pengurusan herbarium iaitu Puan Rohani yang ditempatkan di herbarium tumbuhan tinggi, Puan Farhanim di herbarium paku pakis, Encik Akman di herbarium lumut dan Encik Luqman di herbarium alga. Puan Zalina dan Puan Noor Lee pula merupakan tukang jahit bagi spesimen tumbuhan tinggi dan juga paku pakis. Ada beberapa orang pembantu makmal yang pernah berkhidmat di UKMB telah meninggal dunia dan bersara iaitu almarhum Encik Sani Miran yang lebih mesra dipanggil Wak Sani, almarhumah Puan Masnoryante, Encik Razali Jaman atau dikenali sebagai Encik RJ, Encik Khairi, Encik Soed dan Encik Rahim.

       Herbarium UKMB mempunyai koleksi yang sangat memberangsangkan iaitu anggaran kira-kira 50,000 spesimen tumbuhan tinggi, 60,000 lumut jati, 7,000 paku pakis dan 2,000 rumpai laut (alga). Antara koleksi yang dimiliki ini, terdapat juga beberapa spesimen tip (spesimen yang menjadi bukti fizikal bagi nama spesies yang pertama kali diterbitkan), spesies endemik dan spesies yang telah dilaporkan sebagai rekod baru bagi Semenanjung Malaysia. Pada penghujung 2023, pihak Herbarium UKMB telah memperoleh dana Program Inventori Koleksi Spesimen Biodiversiti Kebangsaan (PIKS-BioD) berjumlah RM30,000 daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Ia telah didaftarkan dan diberikan kod ST-2023-050 kepada ketua projek iaitu penulis sebagai geran luar oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia. Dana yang diperoleh ini adalah untuk aktiviti memuat naik data koleksi spesimen herbarium lumut jati ke laman sesawang MyBIS (Malaysia Biodiversity Information System), pengurusan koleksi spesimen herbarium, penganjuran bengkel dan juga bagi yuran penerbitan. Kami menjangkakan kemungkinan 10% daripada jumlah koleksi lumut jati dan sebahagian daripada koleksi tumbuhan lain iaitu tumbuhan tinggi, paku pakis dan alga yang dimiliki akan berjaya dimuat naik sehingga akhir tahun ini. Semoga dengan kerjasama ini, Herbarium UKMB akan lebih dikenali sebagai pusat rujukan utama di rantau Asia.


       Peranan Herbarium UKMB dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, serta pemuliharaan sumber flora di Malaysia telah diulas oleh penulis selaku panel bagi sesi Webinar MyBIS Siri 2/2022 iaitu Pengurusan Flora Malaysia: Satu Langkah Penghijauan Bumi & Perkongsian Faedah anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama Forest Research Institute Malaysia (FRIM). Bagi pengajaran dan pembelajaran, ia digunakan bagi sebahagian kuliah dan juga amali pelajar pra- mahupun pascasiswazah bagi kursus-kursus botani seperti famili tumbuhan berbiji, botani kriptogam, pengurusan data dan sumber taksonomi, sistematik tumbuhan dan sebagainya. Ia dimulakan dengan pengajaran teori semasa kuliah, seterusnya aktiviti kerja lapangan bagi kursus terlibat. Sebaik pulang daripada lapangan, sampel akan dikeringkan di rumah kurasi yang terletak di kompleks rumah tumbuhan. Kemudian, sampel tersebut akan dijadikan sebagai spesimen herbarium dan didepositkan ke Herbarium UKMB. Bagi penyelidikan, Herbarium UKMB menjadi tempat rujukan utama bagi pengkaji tumbuhan dan pelajar botani dari dalam mahupun luar negara. Kebiasaannya mereka datang ke Herbarium UKMB untuk mengkaji kumpulan tumbuhan tertentu, terutamanya spesimen tip yang kebiasaannya tidak dipinjamkan kerana sangat berharga, contohnya spesimen tip Rafflesia azlanii bagi tumbuhan tinggi, Cyathea arjei bagi paku pakis dan Bryum tuberosum bagi lumut jati. Selain itu, Herbarium UKMB menyediakan khidmat pengecaman spesies dan pinjaman spesimen. Tiada bayaran dikenakan bagi pinjaman spesimen, cuma perlu melalui proses tertentu seperti mengisi borang pinjaman, bertanggungjawab untuk menjaga spesimen dengan baik dan sebagainya. Namun, bagi pengecaman spesies sedikit bayaran dikenakan bagi penjanaan iaitu hanya RM30.00 bagi warga UKM dan RM50.00 bagi orang luar. Bagi urusan kedua-dua perkhidmatan ini, para pelanggan yang berminat boleh hubungi kami di alamat e-mel herbariumukmb@ukm.edu.my. 


       Program-program yang dijayakan dan perkongsian santai oleh pihak Herbarium UKMB juga boleh dilihat di media sosial iaitu laman Facebook dengan nama akaun Herbarium Ukmb dan page Facebook bernama Herbarium Universiti Kebangsaan Malaysia – UKMB, serta Instagram dengan nama akaun Herbarium UKMB (@herbariumukmb). Bagi pemuliharaan sumber flora, Herbarium UKMB merupakan pusat data taksonomi yang penting kerana menyimpan maklumat tentang status, lokaliti dan fenologi sesuatu spesies. Sebagai contoh, berdasarkan spesimen yang direkodkan bagi spesies endemik, kita dapat mengetahui lokasinya, jadi pihak jabatan perhutanan misalnya boleh mengambil tindakan untuk memulihara kawasan tersebut. Selain itu, tarikh yang tercatat pada label juga penting kerana dapat memberikan kita anggaran untuk melawat semula lokasi pada waktu yang sesuai iaitu pada ketika pokok sedang berbunga dan berbuah bagi mendapatkan sampel yang lengkap atau fertil. Herbarium UKMB turut berkolaborasi dengan Taman Botani Bangi dan Kelab Rakan Taman UKM bagi sebarang aktiviti penghijauan bumi seperti penanaman pokok.


       Akhir sekali, semoga akan ada satu perjumpaan bersama kurator/penyelaras herbarium di Malaysia seperti yang telah diadakan pada tahun 1989 bagi membincangkan tentang koleksi dan masa depan herbarium, di samping cabaran dan prospek bidang taksonomi dan sistematik tumbuhan di Malaysia.

Rujukan: