Akuaponik: Penyelesaian Inovatif untuk Pertanian dan Akuakultur Lestari
12 Julai 2024
Ditulis oleh:
Dr. Siti Jalilah Mohamad
Pasca Doktoral
Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP),
Universiti Malaysia Terengganu
Dr. Norhidayah Abdul Manan
Pensyarah
Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP),
Universiti Malaysia Terengganu
Di era cabaran alam sekitar dan kesejahteraan ekonomi kontemporari, sistem akuaponik muncul sebagai satu pendekatan berinovasi untuk penternakan ikan dan pertanian. Akuaponik menggabungkan prinsip akuakultur dan hidroponik dalam satu sistem bersepadu yang menjimatkan sumber, mesra alam, dan produktif. Dengan keupayaan menghasilkan protein haiwan dan sayur-sayuran organik secara serentak, akuaponik menawarkan penyelesaian lestari untuk meningkatkan keselamatan makanan dan menjana pendapatan sampingan.
Ikan tilapia (Oreochromis spp.) merupakan spesies ternakan yang sangat berpotensi dalam sistem akuaponik. Tilapia terkenal dengan ketahanannya, keupayaan menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran, dan kadar pertumbuhan yang pesat. Ia juga mudah diternak, memerlukan kos rendah, dan mempunyai permintaan pasaran yang tinggi. Pengurusan teliti sepanjang tempoh ternakan amat penting untuk memastikan kejayaan sistem akuaponik, termasuk pemberian makanan bermutu tinggi, pemantauan kesihatan ikan, serta kawalan kualiti air secara berkala.
Elemen unik akuaponik terletak pada kitaran semulajadi nutrien dalam sistem tersebut. Sisa kumuhan dan najis ikan bertindak sebagai baja organik untuk tumbuhan, manakala akar tumbuhan berfungsi sebagai penapis biologi yang menjernihkan air semula untuk digunakan oleh ikan. Pelbagai jenis sayuran boleh ditanam dalam sistem akuaponik seperti sayur-sayuran berdaun, herba, buah-buahan, dan tumbuhan berbuah secara hidroponik tanpa menggunakan tanah.
Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), produk inovasi akuaponik yang dinamakan Low-Budget Aquaponic System (LB-PONIC) telah dibangunkan oleh salah Dr. Norhidayah Abdul Manan, pensyarah dari Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP). Bersama-sama dengan komuniti sekitar Kuala Nerus, Terengganu, sistem LB-PONIC telah diperkenalkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi penduduk.
Komuniti seperti Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung (JPKK) Mengabang Telong, JPKK Pengkalan Atap, Rumah Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Batu Rakit serta Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi terlibat dalam membangunkan 2 set sistem LB-PONIC berkapasiti 2 tan bagi penternakan ikan tilapia merah dan juga dilengkapi dengan sistem hidroponik bagi penanaman sayuran jenis hidroponik seperti sawi, pak choy, kangkung, kalian, bayam dan salad.
Akuaponik menyediakan penyelesaian inovatif dalam mengintegrasikan penternakan ikan dan pertanian secara lestari. Sistem ini menjimatkan penggunaan air, mengurangkan pencemaran dengan mengitar semula nutrien dengan cekap, dan menghapuskan keperluan baja kimia untuk pertanian. Ia sekaligus membuka peluang usahawan untuk menjana pendapatan sampingan dengan melibatkan kos operasi yang rendah.
Selain manfaat ekonomi, akuaponik juga memberi impak positif dari segi sosial dan pendidikan. Ia membantu meningkatkan keselamatan makanan serta akses kepada sumber protein haiwan dan sayur-sayuran segar, terutamanya di kawasan bandar terhad ruang. Akuaponik juga menawarkan satu platform pengajaran dan pembelajaran hands-on mengenai konsep kelestarian, kitaran nutrien semulajadi, dan pengurusan sumber secara efisyen.
Dengan permintaan global yang semakin meningkat dalam menampung pengeluaran sumber makanan lestari dan pengurusan sumber yang efisyen, sistem akuaponik berpotensi untuk terus berkembang sebagai satu penyelesaian inovatif dalam sektor pertanian dan akuakultur. Produk inovasi seperti LB-PONIC yang dibangunkan di UMT merupakan satu langkah positif dalam mempromosikan akuaponik sebagai model pertanian mampan untuk masa depan.
En. Mohd yatim bin Mokhtar merupakan salah seorang penerima manfaat dari program pemindahan ilmu oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan menerima sebuah unit sistem akuaponik, LB-PONIC.
Ikan dan tumbuhan hidup subur di dalam sistem akuaponik secara organik dan bebas dari racun perosak dan baja kimia
Dr. Nor Hidayah Manan (dua dari kiri) bersama pegawai penyelidik yang lain ketika lawatan pemantauan mereka ke tapak projek.