Kem Eksplorasi STEM @ Pulau Redang
24 Oktober 2024
Ditulis oleh:
Dr. Salmiah Jamal binti Mat Rosid
Pensyarah
Pusat Asasi Sains dan Perubatan,
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Prof Madya Dr. Sharifah wajihah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa
(sharifahwajihah@unisza.edu.my)
Pengarah
Pusat Asasi Sains dan Perubatan,
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Kem Eksplorasi STEM @ Pulau Redang anjuran Persatuan Pelajar Pusat Asasi Sains dan Perubatan menjadi inisiatif utama dalam bidang pendidikan yang mengutamakan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Tujuan utama program ini ialah memberikan sokongan yang proaktif kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Pulau Redang khususnya murid darjah lima dan enam bagi menerapkan rasa suka dan cinta akan elemen utama STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melahirkan pelajar asasi Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA yang mempunyai keberanian dan jati diri yang utuh dalam menyampaikan ilmu STEM kepada murid-murid darjah lima dan enam Sekolah Kebangsaan Pulau Redang. Inisiatif ini dijayakan oleh para pensyarah dan pelajar dari Pusat Asasi Sains & Perubatan UniSZA dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta kerjasama kukuh daripada MySTEM Ambassador dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui PROGRAM SciTech4U – STEM CAMP MOSTI 2024.
Sepanjang program ini berlangsung, seramai 7 orang staf, 37 orang fasilitator terdiri daripada kalangan pelajar Pusat Asasi Sains & Perubatan UniSZA serta 47 orang murid darjah lima dan enam Sekolah Kebangsaan Pulau Redang telah terlibat bermula dari 18 Mei 2024 hingga 19 Mei 2024 bertempat di SK Pulau Redang. Matlamat utama kem ini diadakan adalah untuk menambahkan minat murid dalam mata pelajaran STEM iaitu Sains dan Matematik. Selain itu, program ini juga bertujuan menyedarkan murid bahawa STEM adalah sangat berguna dalam kehidupan mereka. Program ini juga dilihat dapat meningkatkan jaringan dan jalinan dengan sekolah luar bandar terutama di Pulau Redang dalam melaksanakan program STEM ini dengan jaya disamping dapat menyampaikan ilmu STEM dalam kaedah yang seronok dan menarik.
Objektif di sebalik aktiviti yang dijalankan dalam kem yang melibatkan Modul STEM dan Modul Matematik ini adalah untuk mengasah dan mengembangkan pelbagai kemahiran penting para murid dalam suasana yang interaktif dan menyeronokkan. Berikut adalah beberapa objektif spesifik untuk setiap aktiviti:
1. Membuat Sabun daripada Minyak Masak Terpakai
Aktiviti ini bertujuan untuk mengajar murid-murid tentang pentingnya kitar semula dan bagaimana bahan terpakai seperti minyak masak boleh diolah semula untuk menghasilkan produk yang berguna, seperti sabun. Melalui aktiviti ini, murid-murid dapat memahami asas reaksi kimia yang terlibat dalam proses membuat sabun, yang melibatkan proses saponifikasi. Aktiviti ini juga menggalakkan kesedaran tentang pengurusan sisa yang bertanggungjawab dan impaknya terhadap alam sekitar.
2. Aktiviti Piramid Cawan
Aktiviti ini memerlukan murid-murid bekerjasama dalam kumpulan untuk mencapai matlamat bersama tanpa penggunaan tangan, yang mengajar mereka tentang pentingnya kerjasama dan komunikasi dalam menyelesaikan tugas. Murid-murid diuji untuk mencari cara kreatif untuk menyusun cawan dengan sekatan yang diberikan, yang melatih mereka dalam pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah.
3. Aktiviti ‘Don’t Drop the Ball’
Aktiviti ini membantu murid-murid mengembangkan kemahiran motor halus dan koordinasi antara mata dan tangan, kerana mereka perlu mengendalikan bola dengan hanya menggunakan kertas. Aktiviti ini menggalakkan kerjasama dalam pasukan dan membangun kepercayaan antara rakan sepasukan, kerana mereka perlu bergantung antara satu sama lain untuk memastikan bola tidak jatuh.
Melalui setiap satu daripada aktiviti ini, murid-murid bukan sahaja belajar konsep dan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik, tetapi juga mengembangkan kemahiran sosial dan emosi yang penting seperti kerjasama, komunikasi, dan kesedaran alam sekitar. Kesemua ini membantu dalam pembentukan pelajar yang holistik dan bertanggungjawab.
Pada hari kedua, mereka didedahkan dengan aktiviti Matematik iaitu pecahan dan wang. Murid-murid perlu membuat latihan dalam kumpulan dengan menggunakan konsep pecahan dan wang. Para pemenang akan diberikan hadiah sebagai dorongan mereka untuk menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan. Pendekatan ini diambil untuk merealisasikan impian para murid yang mungkin hanya dapat dicapai melalui pengalaman langsung di dalam bidang matematik.
Dengan memberikan pemahaman dan pendedahan yang lebih mendalam melalui kem ini, murid-murid dijangka dapat menguasai subjek sains dan matematik dengan lebih baik. Secara langsung, kem ini dapat memberikan kesan positif terhadap prestasi akademik mereka dan membantu mereka bersaing secara proaktif dan positif agar lebih cemerlang di dalam menceburi bidang STEM.
Pelaksanaan program ini juga berhasrat memenuhi sebahagian daripada keperluan Pelan Strategik UniSZA melalui Community Heroes Strategy yang menyediakan sistem sokongan yang berkesan dengan mengadakan flagship program pembangunan pelajar dan salah satu pelaksanaan amalan pendidikan berimpak tinggi, iaitu pendidikan berasaskan komuniti (Community Based Learning).
Secara kesuluruhannya, Kem Eksplorasi STEM @ Pulau Redang adalah sebuah program yang berimpak tinggi dalam memupuk minat para murid darjah lima dan enam SK Pulau Redang dalam bidang STEM melalui penekanan pada pembelajaran berkumpulan, pengalaman secara langsung, dan pemahaman mendalam. Kerjasama dinamik antara Pusat Asasi Sains Dan Perubatan UniSZA dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta kerjasama kukuh daripada MySTEM Ambassador dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan lagi program ini serta memberikan impak positif terhadap perkembangan ilmu pengetahuan berkenaan STEM dikalangan murid darjah lima dan enam SK Pulau Redang.