Integrasi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence or AI) dalam Pembelajaran dan Pengajaran Pelajar: Manfaat dan Cabaran dalam Sistem Pendidikan Abad ke-21

9 Disember 2023

Ditulis oleh:

Ts. ChM. Dr. Chin Siew Xian


Pensyarah Kanan

ASASI pintar Program,

Pusat GENIUS@Pintar NEGARA UKM,

Universiti Kebangsaan Malaysia 

ChM. Dr. Nurulhaidah Daud


Pensyarah Kanan

ASASI pintar Program,

Pusat GENIUS@Pintar NEGARA UKM,

Universiti Kebangsaan Malaysia 

Dr. Teh Chin Hoong


Pensyarah Kanan

ASASI pintar Program,

Pusat GENIUS@Pintar NEGARA UKM,

Universiti Kebangsaan Malaysia 

Dalam era teknologi digital yang pesat ini, artificial intelligence (AI) atau kecerdasan buatan menjadi semakin penting dalam dunia pendidikan. AI digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor, termasuk bidang pendidikan. Keupayaan AI dalam usaha meningkatkan dan memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) para pelajar adalah tidak boleh dinafikan. Sejak kebelakangan ini, penggunaan AI dalam tugasan menjadi semakin popular di kalangan pelajar disebabkan aplikasi ini memberikan banyak manfaat dari segi kemudahan kerja serta penjelasan yang mudah difahami. Malahan, kemunculan aplikasi ini di sebaliknya membawa cabaran baru kepada sistem pendidikan dan para guru. Penggunaan AI telah berubah dari hanya menjadi pilihan pada suatu masa kepada kemestian dalam bidang Pendidikan yang banyak melibatkan aktiviti pembelajaran berasaskan inkuiri, samada bagi guru ataupun pelajar. Ini menunjukkan akan kepentingan aplikasi AI dalam PdP abad ke-21 ini.

Dalam konteks tugasan, AI boleh membantu pelajar dengan mudah dan fleksibel dalam pelbagai bidang menerusi kaedah yang berkesan. Dengan menggunakan AI, tugasan dapat disesuaikan berdasarkan keupayaan dan minat pelajar. Sistem kepintaran buatan ini juga dapat menawarkan pengajaran dan penilaian yang dipersonalisasi, dimana pembelajaran pelajar dapat disesuaikan berdasarkan kepantasan dan kecekapan mereka sendiri serta dapat memberikan maklum balas  dalam masa singkat. Ini membolehkan proses pembelajaran yang lebih berpusat kepada pelajar sendiri (self-centered learning) secara langsung. Selain itu, AI yang mempunyai aplikasi belajar sendiri dan kolaborasi projek secara berkumpulan, dapat membantu pelajar memahami konsep dengan lebih baik dan efisien. Berikut merupakan antara aplikasi AI yang kerap digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pada masa kini:

 

1. Penulisan dan Isi Kandungan


2. Reka bentuk


3. Pendidikan


4. Analisis Data


5. Mencipta Musik


6. Permainan


 

Dalam konteks guru, penggunaan AI dalam tugasan pelajar juga membawa cabaran. Walaupun AI dapat mengurangkan beban kerja dan mempercepatkan proses penilaian, tetapi penggunaan AI memerlukan pengetahuan dan kemahiran teknikal yang mahir dan mendalam. Guru perlu dilatih bagi memahirkan diri dengan penggunaan teknologi baru ini. Perkara ini mungkin akan menambah bebanan tugas guru sedia ada.

 

Meskipun terdapat pelbagai cabaran dalam perkara ini, penggunaan AI dalam tugasan pelajar dan proses pengajaran dan pembelajaran adalah cara aliran yang tidak dapat dielakkan dalam konteks pendidikan pada zaman pembangunan teknologi digital ini. Adalah amat penting bagi sistem pendidikan dan guru untuk menerima dan memahami teknologi baru ini, dan mencari cara untuk memaksimumkan manfaatnya disamping cara untuk mengurangkan risiko dan cabaran yang wujud pada masa sama. Dengan penerimaan yang luas dan pendekatan yang lebih berwaspada, AI dapat digunakan untuk meningkatkan pengalaman pendidikan dan membantu pelajar mencapai potensi mereka sepenuhnya. Penting bagi guru untuk sentiasa sedar bahawa AI adalah alat bantu mengajar, dan bukan pengganti bagi proses pengajaran dan penilaian pelajar sepenuhnya. Kesimpulannya, AI memiliki banyak potensi serta kelebihan untuk benar-benar mengubah cara kita mengajar dan belajar. Namun, keseimbangan penggunaan AI perlu diteliti dan digunakan dengan lebih berhati-hati.