Chemxplore: A Journey Into The Next Era of Chemical Engineering

23 Jun 2024

Ditulis oleh:

Ts. Leong Kok Seng 

(kokseng@ptsn.edu.my)


Pensyarah

Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,

Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN)

Pada hari ini, dunia dihadapi dengan pelbagai isu dan cabaran. Antara masalah yang mencetuskan perbincangan adalah pandemik Covid-19 yang telah menggugat kestabilan ekonomi global, perubahan gaya hidup dengan pengenalan norma baharu, pembaharuan sistem kesihatan awam, cabaran teknologi di era Revolusi Industri 4.0, serta kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan graduan. Kerajaan bersama sektor swasta sedang berusaha mencari penyelesaian melalui pelbagai pelan rangsangan dan inisiatif ekonomi. Salah satu isu penting yang berkait rapat dengan pelajar dan pendidikan adalah kebolehpasaran graduan dari institusi pengajian tinggi. Kini, kebolehpasaran graduan menjadi fokus utama dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran yang meningkat akibat cabaran global dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0. Kelayakan akademik tidak lagi dianggap sebagai jaminan kerana majikan lebih mementingkan nilai tambah seperti kemahiran, keistimewaan, dan kelebihan peribadi graduan. Pemahaman ini memberi kelebihan kepada majikan dalam menghadapi era Revolusi Industri 4. Selain itu, kualiti graduan yang rendah dan ketidakupayaan menyesuaikan diri dengan keperluan tempat kerja merupakan cabaran lain yang dihadapi majikan dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0.


Dalam konteks transformasi ekonomi dan persaingan pekerjaan yang sedang berlaku di seluruh dunia pada masa kini, institusi pendidikan perlu berperanan dalam menyediakan tenaga kerja yang dilengkapi dengan kemahiran kebolehpasaran. Ini adalah penting kerana keperluan industri berubah dengan cepat dan institusi pendidikan harus bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Untuk memastikan relevansi, kurikulum institusi pendidikan perlu dipantau dan dikemaskini secara berkala agar selari dengan keperluan semasa industri. Ini membolehkan institusi pendidikan menghasilkan graduan yang dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dan sesuai dengan permintaan pasaran kerja. Kemahiran kebolehpasaran yang bersesuaian dengan alam pekerjaan dapat memberi graduan kelebihan untuk mencapai tahap kecemerlangan dalam bidang pekerjaan yang mereka pilih. Dengan itu, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang berkualiti dan relevan dalam menangani cabaran ekonomi dan pekerjaan semasa.


Program CHEMXPLORE: A JOURNEY INTO THE NEXT ERA OF CHEMICAL ENGINEERING adalah sebuah inisiatif terunggul dalam bidang pendidikan yang mengintegrasikan elemen bengkel dan ceramah yang difokuskan kepada revolusi industri 4.0. Sasaran utama program ini ialah untuk memberikan sokongan yang kukuh kepada pelajar Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN), khususnya dalam membangunkan minat mereka terhadap pembelajaran teknologi terkini yang sejajar dengan keperluan pasaran industri. Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama antara pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Petrokimia PTSN serta pensyarah dari UNIKL MICET. Penganjuran program ini melibatkan penyertaan seramai 96 orang pelajar dan telah dijalankan pada 22 Februari 2024, di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail. Matlamat utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan yang menyeluruh kepada pelajar mengenai modul-modul subjek kejuruteraan. Mereka diberi peluang untuk tidak hanya memahami konsep-konsep teori di dalam bilik kuliah, tetapi juga terlibat secara praktikal dalam proses kejuruteraan dalam industri.

Antara modul-modul kursus termasuklah 'Material and Energy Balance for Separation Process', 'Introduction to Response Surface Methodology', 'Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR)', 'Process Control in Palm Oil Refinery', dan 'Exploring Thermodynamic Cycle'. Modul-modul ini memberikan bantuan kepada pelajar dalam memahami konsep-konsep asas dan aplikasi dalam bidang kejuruteraan kimia dan industri. Melalui modul 'Material and Energy Balance for Separation Process', pelajar dapat memahami prinsip-prinsip penting berkaitan dengan pengimbangan bahan dan tenaga dalam proses pemisahan. Sementara itu, 'Introduction to Response Surface Methodology' memberikan landasan kepada pelajar untuk memahami kaedah analisis eksperimen yang penting dalam penyelidikan dan pembangunan produk. Modul 'Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR)' membantu pelajar dalam memahami teknik analisis spektroskopi yang digunakan dalam menganalisis struktur kimia bahan. Selain itu, 'Process Control in Palm Oil Refinery' memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pentingnya kawalan proses dalam industri minyak kelapa sawit. Manakala, 'Exploring Thermodynamic Cycle' membantu pelajar dalam memahami dan menganalisis kitaran termodinamik dalam pelbagai aplikasi industri. Kesemua modul ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mendalami pengetahuan dan kemahiran praktikal yang relevan dalam bidang kejuruteraan kimia, sekaligus membantu mereka menyongsong revolusi industri 4.0.


Modul-modul ini memegang peranan penting dalam menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi memahami serta menangani cabaran dalam industri kimia dan sektor industri pada masa akan datang. Ini kerana modul-modul tersebut membekalkan asas-asas dan aplikasi yang relevan untuk membolehkan pelajar menyokong perkembangan dan keperluan industri yang semakin kompleks dan dinamik. Dengan memahami prinsip-prinsip asas dan menerapkan kemahiran praktikal yang diperoleh melalui modul-modul ini, pelajar akan dapat menyumbang secara positif kepada pertumbuhan dan kelestarian industri kimia serta industri keseluruhannya dalam era yang semakin mencabar ini.